PONTIAN: Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Rumah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Pontian di Jalan UMNO, di sini, meriah dengan aktiviti gotong-royong menghiasi rumah tersebut.
Setiausaha PAWE Daerah Pontian, Tumiran Parlan berkata, kerja-kerja menghiasi persekitaran rumah tersebut dilakukan sebaik sahaja memasuki bulan Ogos dua minggu yang lalu.
Katanya, kerja-kerja tersebut dimulakan dengan memasang Jalur Gemilang dan Bendera negeri Johor di sekeliling kawasan diikuti elemen hiasan yang lain.
Katanya, sebanyak 400 Jalur Gemilang samada kecil atau besar, 150 bendera Johor kecil dan besar mewarnai Rumah PAWE yang telah berusia lebih 60 tahun.
“Alhamdulillah, setiap tahun kami menghiasi premis ini bagi sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan pelbagai hiasan.
“Rumah PAWE ini merupakan johan pertandingan hiasan bangunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan bagi tahun 2023 dan 2024, Tahun ini kami akan bertanding lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Tumiran, setiap ahli PAWE akan mengadakan gotong royong melakukan pelbagai tugasan bagi menghiasi kawasan rumah PAWE dengan pelbagai elemen keceriaan.-UTUSAN.










