RoboCup Malaysia Open 2025 himpun 225 peserta dalam dan luar negara - Utusan Malaysia

RoboCup Malaysia Open 2025 himpun 225 peserta dalam dan luar negara

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan meninjau salah seorang peserta RoboCup Malaysia Open 2025 di Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: RoboCup Malaysia Open 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menghimpunkan penyertaan seramai 48 pasukan membabitkan 225 peserta dari dalam dan luar negara.

Daripada jumlah tersebut, 198 penyertaan adalah merupakan peserta tempatan manakala 25 lagi dari China dan selebihnya adalah dari Iran.

Perasmian acara antarabangsa ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, penganjuran itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memajukan bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI) khususnya bagi bidang pendidikan, penyelidikan, industri serta penglibatan komuniti.

“Acara ini dianjurkan bersama oleh Malaysia AI Robotics Society (MARS) dan mendapat sokongan rasmi daripada RoboCup Federation,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian di Dewan Ilmu Unimap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata, RoboCup Malaysia Open 2025 merupakan program dinamik yang merangkumi beberapa liga termasuk RoboCup@Home, RoboCup Rescue Line, RoboCup Soccer dan Industrial Logistics.

“Program ini turut dilengkapkan dengan siri cabaran inovasi teknikal dan bengkel praktikal di mana semuanya dirancang untuk mengukuhkan aplikasi dunia sebenar dalam bidang robotik serta memberi inspirasi kepada generasi masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, penganjuran RoboCup Malaysia Open 2025 turut mendapat penglibatan pelajar daripada program Asia Applied Artificial Inteigence (A3I) dari University of Yamanashi, Jepun, dan Pukyong Korea National University, Korea Selatan.

Katanya, melalui program itu, Unimap sememangnya komited sepenuhnya dalam memupuk budaya kecemerlangan teknikal dan pendidikan berteraskan inovasi dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Presiden MARS, Prof. Dr. Jeffrey Tan berkata, RoboCup merupakan pertandingan robot terbesar di dunia dengan mendapat penglibatan puluhan ribu peserta dari seluruh dunia secara aktif.

Katanya, RoboCup bukannya pertandingan robot yang dikendalikan manusia seperti kereta kawalan jauh namun membabitkan persaingan robot autonomi yang bergerak secara sendiri.

“Ia juga merupakan projek penanda aras yang bertujuan mempromosikan penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik serta menyebarkan teknologi asas ini ke pelbagai bidang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN