WASHINGTON: Pentagon dilaporkan secara senyap-senyap menyekat Ukraine daripada menggunakan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) jarak jauh buatan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerang sasaran di dalam Russia.
Menurut laporan Wall Street Journal yang memetik pegawai AS, langkah itu sekali gus mengehadkan keupayaan Kyiv menggunakan senjata tersebut dalam mempertahankan diri daripada pencerobohan Moscow.
Laporan itu muncul ketika Presiden AS, Donald Trump semakin lantang menyuarakan kekesalan terhadap perang yang berlarutan selama tiga tahun serta kegagalannya mencapai perjanjian damai antara Russia dan Ukraine.
Selepas sidang kemuncaknya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan pertemuan bersama pemimpin Eropah serta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang tidak membawa kemajuan ketara, Trump pada Jumaat menegaskan sedang mempertimbang semula sekatan ekonomi terhadap Moscow atau menarik diri daripada proses damai.
“Saya akan membuat keputusan yang sangat pentin, sama ada sekatan atau tarif besaran-besaran, atau kita tidak melakukan apa-apa dan menganggap ini adalah perjuangan mereka,” kata Trump.
Sebelum ini, Trump berharap dapat mengatur pertemuan dua hala antara Putin dan Zelensky, namun usaha itu juga terbukti sukar.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov memberitahu NBC pada Jumaat, tiada agenda ditetapkan untuk pertemuan dengan Zelensky.
“Putin sedia bertemu Zelensky apabila agenda bagi sidang kemuncak itu tersedia. Namun, agenda itu sama sekali belum wujud,” katanya sambil menegaskan tiada pertemuan dirancang buat masa ini.
Ketika Rumah Putih berusaha memujuk Putin menyertai rundingan damai, satu proses kelulusan yang ditetapkan Pentagon menghalang Ukraine daripada melancarkan serangan jauh ke dalam Russia, lapor Wall Street Journal.
Laporan itu berkata, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth mempunyai kata putus berhubung penggunaan senjata jarak jauh berkenaan.









