KANGAR: Pasukan dari Perlis muncul johan dalam kelas M4 (1,801 cc – 2,000 cc) pada pusingan kedua Kejohanan Rali Malaysia MAM yang diadakan bersama Malaysia Festival of Speed (MFOS) 2025 di Sepang, Selangor baru-baru ini.
Azrul Azhar Norbakari dan juruarah, Muhamad Firdaus Musa dari pasukan AA Motorsports Rally Team itu memenangi kategori M4 berkenaan dengan jentera Proton Satria 1.8.
Pasangan Indonesia iaitu Anif Fauzi Harahap bersama juruarah Rizky Fauzy pula berjaya meraih tempat kedua kelas ini, manakala penampilan pertama Nandakumar Puspanathan bersama KE70 Beams membuahkan hasil dengan berada di tempat ketiga kelas M4.
Pasukan AA Motorsports Rally Team yang mewakili Perlis ke pertandingan berkenaan juga membantu mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
Perlumbaan berlangsung di ladang-ladang kelapa sawit sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.-UTUSAN