Orang Asli dakwa projek Bandar Peranginan Gunung Camah ancam kehidupan mereka

Orang Asli dakwa projek Bandar Peranginan Gunung Camah ancam kehidupan mereka

NOR Mohd. Syafiq Dendi Abdullah menunjukkan surat memorandum untuk diserahkan kepada kerajaan negeri pada Himpunan Amal Kismis Minda di hadapan Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hampir 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang bimbang masa depan mereka terjejas ekoran pelaksanaan projek Bandar Peranginan Tanah Tinggi Gunung Camah yang didakwa mula mengganggu ekosistem hutan serta sumber air sejak tahun lalu.

Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nor Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, pembangunan tersebut bukan sahaja mengundang pencemaran Sungai Perias yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat, malah turut meningkatkan ancaman daripada haiwan liar.

Menurutnya, kerajaan negeri wajar mempertimbang kesan serius terhadap alam sekitar serta kelangsungan hidup Orang Asli sebelum meneruskan projek berkenaan.

“Air sungai mula tercemar, tanaman terancam dan masyarakat semakin sukar keluar memburu untuk mencari rezeki akibat pencerobohan kawasan hutan.

“Hari ini kami menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim hari ini bagi menzahirkan pendirian membantah tindakan yang kami anggap tidak berperikemanusiaan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa berhimpunan aman di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Nor Mohd. Syafiq turut melahirkan kebimbangan bahawa projek berkenaan berisiko menyebabkan komuniti di situ kehilangan penempatan tetap pada masa depan sekiranya diteruskan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain yang hadir bersama menyerahkan memorandum berasingan kepada kerajaan negeri menegaskan isu air, banjir kilat, cukai getah serta peluang pekerjaan turut perlu diberi perhatian segera.

“Kerajaan negeri tidak boleh menutup mata. Suara rakyat mesti diberi tempat dan pembangunan mestilah mengambil kira keseimbangan alam sekitar serta kepentingan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN