SEREMBAN: Pasukan Liga Super Negeri Sembilan FC (NSFC) akan memasuki saingan musim 2025/2026 dengan keazaman baharu untuk tidak lagi menjadi pasukan belasahan.
Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pasukan baharu NSFC telah dibentuk dengan bimbingan jurulatih Mohd. Nidzam Jamil yang giat mengatur latihan, perlawanan persahabatan dan merangka strategi perlawanan berdasarkan gandingan para pemain.
Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, berdasarkan perkembangan semasa, pasukan yang sedang dibentuk mampu memberikan persembahan lebih hebat dan mantap dengan disokong pengurusan yang baik.
“Saya yakin dengan kerjasama yang strategik ini, kita akan menjadi satu pasukan pencabar yang hebat kepada Liga Super kali ini.
“Walaupun belum meletakkan sasaran, kami yakin bahawa NSFC bukan lagi belasahan untuk mana-mana pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan barisan Pemain serta pegawai pasukan NSFC musim 2025/2026 di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus.
Musim lalu, NSFC menduduki tangga ke-12 liga, kedua terbawah selepas hanya mengutip 16 mata daripada 24 perlawanan dengan mencatatkan empat kemenangan, seri (4) dan kalah (16).
Keyakinan yang sama turut disuarakan Tunku Syed Razman yang memberitahu, beliau nampak kelainan yang ditunjukkan oleh NSFC melalui sesi latihan dan perlawanan persahabatan.
“Saya cukup yakin bahawa pasukan kita kali ini adalah lebih mantap dan lebih bersemangat untuk menghadapi saingan Liga Super,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Tunku Besar Tampin meminta para peminat bola sepak di negeri ini terus memberi sokongan padu kepada NSFC seperti yang telah mereka pamerkan sejak sekian lama.-UTUSAN.










