Negeri Sembilan kukuh jadi negeri progresif, stabil

Negeri Sembilan kukuh jadi negeri progresif, stabil

KEPIMPINAN Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kini membawa Negeri Sembilan mara sebagai sebuah negeri harmoni, sejahtera dan berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI pengiktirafan berprestij yang diterima kebelakangan ini terus membuktikan kedudukan Negeri Sembilan sebagai antara negeri paling progresif di Malaysia.

Kejayaan itu memberikan gambaran hala tuju pembangunan Negeri Sembilan berada di landasan tempat ke arah masa depan yang inklusif dan mampan.

Pengiktirafan tertinggi hadir sudah tentu menerusi anugerah Negeri Paling Progresif 2024 oleh The International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025 baru-baru ini.

Menerusi pengiktirafan berkenaan, ia meletakkan Negeri Sembilan sebagai contoh negeri cemerlang dalam aspek pelaburan, pembangunan mampan, keterangkuman sosial dan juga digitalisasi perkhidmatan.

Negeri Sembilan juga membuktikan kecemerlangan dalam aspek pentadbiran. Ia menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang diiktiraf sebagai salah satu Agensi Induk Terbaik bagi kategori Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di peringkat Persekutuan dan Negeri 2025.

Pengiktirafan ni membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan kakitangan, komunikasi dua hala yang berkesan dan budaya kerja harmoni.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut menerima Anugerah Majikan Prihatin Negeri dan Wilayah Persekutuan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sempena sambutan Hari Pekerja 2025.

Negeri Sembilan juga melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan tumpuan diberikan kepada Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Enam projek RKB di Negeri Sembilan kini dalam proses persijilan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Ogos 2025 yang dilihat sebagai langkah penting meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

RAIH KEYAKINAN PELABUR

Kejayaan yang dicapai tidak lengkap jika tidak menyentuh aspek pelaburan di negeri ini. Sepanjang tahun lalu sejumlah RM7.25 billion nilai pelaburan berjaya diperoleh yang melibatkan 208 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi tinggi.

Daripada jumlah itu, RM3.4 bilion adalah pelaburan asing termasuk syarikat antarabangsa seperti Safran dari Perancis, F&N dari Singapura dan AntMed dari China.

Kejayaan menarik pelaburan besar ini tidak hanya memberi kesan ekonomi malah membina keyakinan pelabur terhadap daya saing di Negeri Sembilan.

Lebih 500 syarikat asing dan tempatan kini beroperasi di kawasan industri utama seperti Nilai, Senawang, Sendayan dan Enstek sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkualiti.

 

Dalam aspek teknologi pula, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di Malaysia yang menyempurnakan pelaksanaan fasa 1 projek Jalinan Digital Negara (Jendela) menerusi pembinaan sebanyak 27 menara telekomunikasi baharu bertujuan meningkatkan liputan internet luar bandar.

Selain itu, pelaksanaan Program Penggerak Madani juga didahului Negeri Sembilan dengan latihan penjawat awam dan pemimpin akar umbi sebagai ejen perubahan berasaskan nilai Malaysia Madani. Program ini kemudian diperluas melalui kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Di peringkat kerajaan tempatan pula, kejayaan Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Majlis Daerah Jelebu menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2025 menjadi bukti kestabilan sosial dan keharmonian hidup rakyat negeri ini.

Kejayaan diperoleh pasukan sepak takraw Negeri Sembilan Antlers dalam kejohanan Grand Prix Sepak Takraw Liga (STL) 2025 pula telah membangkitkan semangat rakyat Negeri Sembilan dalam bidang sukan.

CABARAN MASA DEPAN

Meski banyak pencapaian diraih, cabaran yang dijangka dihadapi pada masa depan tetap diberikan perhatian. Ia khususnya mengenai kemungkinan krisis air mentah menjelang tahun 2030 seperti dibangkitkan dalam Kajian Sumber Air Menyeluruh Negeri Sembilan.

Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi dilihat sebagai langkah strategik untuk menambah kapasiti bekalan air selain keperluan menyelenggara tujuh empangan utama negeri yang ada diantaranya sudah berusia hingga 37 tahun.

Pembinaan sabo dam juga mendesak bagi mengawal banjir dan hakisan tanah di kawasan berbukit seperti di Gunung Berembun.

Selain itu, tumpuan besar turut diberikan kepada Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) iaitu pelan pembangunan jangka panjang yang membabitkan daerah Seremban dan Port Dickson. Fasa awal projek ini menekankan pembangunan taman industri teknologi tinggi termasuk di Bandar Hamilton, Nilai.

Bagaimanapun sudah tentu, pembangunan besar ini memerlukan ketersediaan infrastruktur yang akan dilengkapkan menerusi TAPS Linggi yang membekalkan air terawat, Pencawang Masuk Utama (PMU) yang membekalkan tenaga elektrik mencukupi serta jaringan jalan rata dan lebuh raya seperti cadangan pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Selatan.

Tahun hadapan menyaksikan Negeri Sembilan menganjurkan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Keunikan Adat Perpatih, alam semula jadi dan gastronomi menjadi daya tarikan.

Namun bagi kerajaan negeri, perhatian perlu diberikan dalam isu kelestarian alam sekitar dan ketersediaan infrastruktur terutama di luar bandar supaya kempen pelancongan ini benar-benar memberikan kesan termasuk dalam aspek ekonomi.

Kerajaan negeri juga berdepan cabaran pembangunan luar bandar di lima daerah iaitu Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah yang sering tidak seimbang dengan pesatnya pertumbuhan Seremban dan Port Dickson.

Masalah infrastruktur asas, pengurusan sisa pepejal dan kekurangan pelaburan di kawasan desa jug harus menjadi fokus untuk diperbaiki. Ia tidak terkecuali sebanyak 65 buah kampung orang Asli yang masih memerlukan sokongan tambahan bagi infrastruktur, pendidikan dan kemudahan asas.

Aspek digitalisasi luar bandar turut dipertingkat melalui rancangan memperluas infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), memperkenalkan kabel optik berkapasiti tinggi serta melaksanakan Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Kerajaan negeri turut memohon sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memperbaiki mekanisme pengukuran kadar kitar semula yang ketika ini terbatas, agar usaha pemuliharaan alam sekitar dapat dinilai lebih tepat.

Isu lain yang mesti diberikan perhatian adalah keperluan menambah peruntukan infrastruktur pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pembinaan jalan, pasar, terminal pengangkutan dan taman-taman awam selain tekanan beban kewangan dihadapi.

KE ARAH NEGERI CONTOH

Keseluruhannya, Negeri Sembilan kini berada di landasan tepat untuk menjadi model pembangunan negeri yang progresif, stabil dan inklusif.

Bagaimanapun, kesinambungan pencapaian ini kelak sudah tentu memerlukan sokongan daripada kerajaan Persekutuan, khususnya dalam isu sumber air, infrastruktur luar bandar dan pelaburan strategik.

Kejayaan-kejayaan besar yang dicapai ini bukan sekadar angka dan pengiktirafan tetapi lebih penting menggambarkan perpaduan rakyat, kecekapan pentadbiran dan keupayaan negeri dalam mendepani cabaran semasa.

Negeri Sembilan jelas sedang mara sebagai sebuah negeri yang harmoni, sejahtera dan berdaya saing sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai contoh negeri Madani di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN