MUKADIMAH
KENYATAAN lantang Ketua Perhubungan MIC Kedah, S.K. SURESH, baru-baru ini mencuri perhatian apabila beliau memberi bayangan bahawa MIC Kedah sedia mempertimbang kerjasama politik di luar kerangka tradisi Barisan Nasional (BN).
Katanya, beliau melihat kerjasama dengan Pas atau Perikatan Nasional (PN) sebagai satu pilihan strategik memandangkan terdapat banyak masalah yang didakwa dihadapi masyarakat India di Kedah dan perlu segera ditangani.
Berhubung kenyataan balas UMNO Kedah tentang isu tersebut, ikuti jawapan SURESH kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AIMY AHMAD.
UTUSAN: UMNO Kedah tekankan soal kesetiaan rakan politik, apa komen?
SURESH: Saya ingin jelaskan jangan bercakap soal kesetiaan jika sanggup meninggalkan kawan lama ketika susah, lalu berpelukan dengan DAP, sebuah parti yang orang UMNO sendiri tidak selesa malah tidak mengundi pun di PRK Padang Serai.
Akar umbi UMNO sudah memberi mesej jelas bahawa mereka tidak suka gabungan itu namun kepimpinan negeri seolah-olah gembira mendapat keistimewaan daripada Kerajaan Pusat sambil melupakan pendirian tegas ‘No DAP’ yang pernah dipegang.
UMNO Kedah menyebut soal maruah parti. Bagaimana MIC Kedah melihat perkara itu?
Kami adalah parti bermaruah, tetapi maruah itu perlu diukur secara konsisten. Lihat sahaja, apabila tokoh seperti Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan parti malah ramai ahli UMNO sendiri keluar daripada BN, apa yang UMNO mampu lakukan? Jadi, persoalannya, maruah apa yang mereka maksudkan?
Adakah kerjasama UMNO dengan DAP memberi kesan kepada MIC dan MCA?
Apabila DAP diberi penghormatan seolah-olah mereka akan menggantikan MIC dan MCA, itu bukti kegagalan rakan kita. UMNO Kedah tidak boleh lupa bahawa DAP pernah berkempen untuk memasukkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke penjara dan konsisten menuduh Datuk Seri Najib Razak sehingga beliau dipenjarakan.
Ironinya, DAP menyokong penuh pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu tetapi menentang keras pengampunan untuk ‘Bossku’. Inilah wajah sebenar mereka, adendum Najib pun mereka menentang habis-habisan, tetapi kamu yang sepatutnya mendukung Najib lebih rela dimanipulasi oleh DAP demi kepentingan sendiri.
Bagaimana reaksi MIC Kedah terhadap penghinaan yang pernah dilontarkan oleh DAP terhadap UMNO?
Pemimpin DAP pernah menggelar UMNO sebagai ‘lalat’ dan ‘anjing liar’ namun kini, UMNO sanggup berpelukan dan memuji mereka seolah-olah penghinaan itu tidak pernah berlaku.
Satu hari nanti mungkin MIC tidak akan kembali kepada BN jika kepimpinan UMNO terus keluar daripada landasan. Percayalah, DAP akan tunjuk perangai sebenar mereka, tidak suka UMNO, tidak suka orang Melayu UMNO tetapi sanggup berlakon demi kekal di kerajaan untuk jawatan. Itu bukan kesetiaan tetapi hipokrasi.
Apakah hala tuju MIC Kedah dalam landskap politik semasa?
MIC tidak perlu meminta kebenaran sesiapa untuk menentukan masa depan parti dalam politik negara. Keutamaan kami adalah masa depan negara dan masyarakat India. Kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kebaikan parti dan rakyat.
Tetapi saya nasihatkan, jangan sampai kami terpaksa membongkar insiden lama yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan kalau itu yang berlaku, jangan pula kamu menyesal.-UTUSAN.










