KANGAR: Menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah pertimbangan politik paling realistik boleh dilakukan MCA dan MIC bagi meneruskan survival mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
MCA dan MIC pastinya sedar mengenai nasib mereka khususnya dalam isu pengagihan kerusi jika terus bersama Barisan Nasional (BN) yang dijangka kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16.
Kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan India boleh dikatakan hampir 100 peratus dikuasai DAP dalam beberapa siri pilihan raya umum sebelum ini dan agak mustahil bagi DAP yang merupakan parti komponen dalam PH akan memberikan laluan kepada parti lain.
Desas-desus kedua-dua parti itu bakal keluar daripada BN terus menjadi polemik dengan beberapa kenyataan pemimpin mereka sebelum ini yang seakan-akan sudah memberi bayangan.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum ini menegaskan, parti itu tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti lain demi memastikan kelangsungan dan masa depan MIC terus terjamin.
Kenyataan tersebut hanya selepas beberapa hari Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dalam wawancara dengan Utusan Malaysia memaklumkan bahawa parti berkenaan akan menentukan hala tuju selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.
Malah, Ketua Perhubungan MIC Kedah, S.K. Suresh juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan lantang dengan memberi bayangan bahawa MIC Kedah sedia mempertimbang kerjasama politik di luar kerangka tradisi BN.
Jika MCA dan MIC keluar daripada BN, Pas atau PN dilihat bersedia menjalinkan kerjasama memandangkan kedua-dua parti itu dilihat mampu memberi nilai tambah kepada gabungan tersebut khususnya dalam menarik sokongan pengundi bukan Melayu dalam PRU16.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin juga tidak menolak kemungkinan untuk Pas dan PN menerima kedua-dua parti tersebut dan memaklumkan sedia berunding ke arah kerjasama itu.
Beliau juga percaya, rundingan ke arah kerjasama itu sudah berjalan khususnya dengan MCA meskipun bukan secara rasmi.
Katanya, Pas terbuka bekerjasama dengan parti-parti lain namun dengan syarat perlu menjaga sensitiviti orang Melayu Islam khususnya.
“Sekarang saya percaya kita sudah bergerak ke arah perundingan dan rundingan itu terbuka kepada mana-mana parti sekali pun. Siapa pun hendak bersama dengan kita boleh berunding. Saya lihat, MCA dan MIC ini sebenarnya mampu memberi nilai tambah kepada PN.
“Sekarang sudah ada suara-suara mengajak kita berada dalam rundingan dengan parti-parti politik ini. Ini merupakan perkembangan yang baik dan Pas sentiasa terbuka bekerjasama dengan parti-parti lain dengan syarat tidak bercanggah dengan dasar kita,” katanya. – UTUSAN










