Malaysia guna diplomasi lindungi industri getah

Malaysia guna diplomasi lindungi industri getah

JOHARI Abdul Ghani (tiga dari kanan) melancarkan Persidangan dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia meng­gunakan saluran diplomatik termasuk platform ASEAN dan rundingan dua hala bagi menangani cabaran tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas produk getah negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenaan tarif itu menambah tekanan kos serta mewujudkan ketidaktentuan pasaran sekali gus memaksa negara menilai semula strategi rantaian bekalan.

Katanya, kerajaan komited melindungi kepentingan pen­g­eksport dan pengeluar tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana yang dilihat pa­ling terbeban dengan pelaksa­naan itu.

“Tiada perbincangan mengenai industri getah hari ini yang lengkap tanpa menyentuh isu tarif AS ke atas beberapa produk getah Malaysia. Pada 2024 sahaja AS menyumbang kira-kira RM8.3 bilion atau 24.6 peratus daripada jumlah eksport getah dan produk getah negara.

“Malaysia sedang berusaha melalui saluran diplomatik termasuk mekanisme ASEAN dan dialog dua hala, bagi mendapatkan layanan yang adil serta memastikan daya saing industri getah negara kekal terjamin di pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Persida­ngan dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, kata Johari, kementerian melalui agensi Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga sedang giat berinteraksi dengan pihak industri untuk meneroka pasaran alternatif.

Katanya, ia bagi meningkat­kan nilai produk dan memper­kukuh pematuhan kepada pia­waian antarabangsa termasuk aspek buruh serta kelestarian sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha mempelbagaikan pasaran dan memperkenalkan produk baharu yang bernilai tinggi.

“Kerajaan menggalakkan pe­ralihan kepada produk getah khusus, pembuatan mesra alam serta integrasi huluan dan hiliran supaya kita tidak bergantung kepada satu pasaran semata-mata.

“Langkah ini akan mengukuhkan daya tahan industri getah Malaysia sekali gus meningkatkan nilai dan kedudukan kita di pasaran global,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN