KANGAR: Pelbagai usaha dan program dilakukan bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Tidak terkecuali, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Putra dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar di sini yang mengambil pendekatan unik mengadakan program Rasa-Rasa Malaysia bagi memperkenalkan masakan tradisi kaum di negara ini.
Menerusi program itu, seramai 260 murid-murid sekolah berkenaan telah diberi pendedahan menghasilkan aiskrim Malaysia yang tidak asing lagi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Murid-murid berkenaan menyediakan aiskrim itu dengan kaedah mengoncang berdasarkan pengabung jalinan mata pelajaran Sains tahun lima melalui proses perubahan keadaan jirim.
Selain itu, guru-guru dari kedua sekolah yang terletak berdekatan itu turut melakukan pertukaran makanan tradisi seperti roti jala dan tose sebagai simbolik perpaduan di negara ini.
Guru Besar SK Putra, Ahmad Juanda Sakaria berkata, guru-guru memilih pendekatan itu bagi menganjurkan program berkenaan bagi memupuk semangat perpaduan dengan menjadikan makanan sebagai simbol penyatuan.
Katanya, selain murid-murid menghasilkan aiskrim Malaysia yang sinonim dengan kanak-kanak di negara ini, mereka turut menampilkan makanan seperti roti jala dan tose yang dimakan oleh masyarakat India serta Melayu.
“Meskipun kita mempunyai banyak perbezaan seperti agama, budaya dan gaya hidup, namun jika kita tidak hanya melihat kepada perbezaan sebaliknya menumpukan pada persamaan maka kita semua akan nampak titik temu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Guru Besar SJKT Kangar, K. Uthaya Kumar pula berkata, kedua-dua sekolah sememangnya telah mewujudkan kerjasama pada setiap kali ketibaan Bulan Kebangsaan dalam menyemarakkan sambutan dalam kalangan murid-murid.-UTUSAN.










