KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors FC (KRW) terpaksa berpuas hati apabila hanya mampu berkongsi satu mata dengan UM-Damansara United (UM-Damansara) selepas terikat 1-1 pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Perlawanan bermula seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menguji gawang masing-masing sebaik sahaja wisel permulaan ditiup.
KRW hampir membuka jaringan melalui sepakan penjuru diambil Arhan Khussyairi Ab. Wahab, namun tandukan Emmanuel Mbarga pada minit ke-25 sekadar menggegar palang gol.
UM-Damansara berjaya membuka jaringan melalui rembatan dari luar kotak penalti Mohamad Syahir Abdul Rahman pada minit ke-31.
Tersentak dengan gol tersebut, KRW cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah menyaksikan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, KRW terpaksa berhempas pulas untuk mencari gol penyamaan, namun terus berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat.
Mbarga hampir berjaya menjaringkan gol untuk tuan rumah tetapi rembatannya pada minit ke-50 sedikit melepasi palang sungguhpun berjaya mencemaskan Ameerul Eqhwan Mohd. Fauzi di hadapan gawangnya.
Kerja keras KRW akhirnya membuahkan hasil apabila Arham Khussyairi memanfaatkan peluang tercipta hasil sepakan penjuru untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-87.
Gol berkenaan membangkitkan semangat tuan rumah untuk menggandakan usaha mencari kemenangan, namun tiupan panjang wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.-UTUSAN