KUALA LUMPUR: Seramai lima remaja terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok. (Rabu)
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja itu berusia di bawah 18 tahun dan akan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini. Lima orang yang akan dituduh dan mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan dengan apa-apa cara atau kaedah, menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi mengancam, kasar, menghina.
Selain itu, ia membabitkan perbuatan mengancam, kasar atau menghina yang mana semua itu didengar, dilihat atau dengan apa-apa cara lain dialami oleh seseorang yang berkemungkinan berasa diganggu, tertekan, takut atau bimbang akibat perkataan, komunikasi atau perbuatan tersebut.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan tindakan untuk menuduh beberapa individu berkait dengan kematian Zara Qairina dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Kata kenyataan itu, keputusan untuk menuduh suspek-suspek berkenaan tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.
Dalam pada itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan inkues bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara Qairina bermula 3 September ini.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini untuk inkues tersebut.
Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairus Johari memberitahu setakat ini seramai 195 saksi sudah diambil keterangan.
Selain Mohd. Fairus turut terlibat sebagai pegawai pengendali yang juga Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Barisan peguam mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, diketuai Hamid Ismail bersama Shahlan Jufri, Rizwandean bin M Borhan, Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, Mohd. Syarulnizam Mohd. Salleh dan Farrah Nasser.
Semasa prosiding, pasukan peguam Zara memohon untuk terlibat secara langsung dalam inkues dengan meminta hak untuk menyoal balas saksi.
Mereka juga memohon supaya semua dokumen berkaitan diserahkan kepada mereka dengan segera bagi membolehkan persediaan soalan dilakukan secukupnya bagi membantu koroner membuat keputusan.
Inkues yang berlangsung selama 17 hari itu bertujuan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha pada pagi 16 Julai lalu. – UTUSAN










