BESUT: Tindakan beberapa individu tidak bertangungjawab menceroboh dan melakukan aktiviti mencari gali emas secara haram di anak sungai di Kampung Bukit Tasik Apal di sini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Apal, Ibrahim Jusoh berkata, aktiviti itu dipercayai bermula sejak tahun 2020 dan semakin menarik perhatian ramai pendulang emas ke kawasan berkenaan.
“Sebelum ini dikatakan hanya beberapa individu dilihat melakukan aktiviti berkenaan dan kami sering kali memberi peringatan kepada mereka supaya menghentikannya namun tidak dipedulikan oleh individu terbabit.
“Tanah itu mempunyai pemilik dan tindakan individu berkenaan melakukan aktiviti cari gali menimbulkan ketidakselesaan buat pemiliknya selain turut merosakan struktur tanah di kebun itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Apal.
Katanya, aktiviti itu mengakibatkan pemilik kebun terpaksa menanggung kerugian apabila tanah di kawasan aliran anak sungai mengalami hakisan sehingga beberapa pokok tanamannya seperti pokok durian dan kelapa sawit tumbang.
Menurut Ibrahim, ketika ini aktiviti mencari gali tersebut dilakukan sepanjang kira-kira 100 meter anak sungai.
“Tindakan mencari gali emas ini bukan dilakukan di permukaan sungai tetapi mereka mengorek tanah serta batu-batuan yang ada di kawasan itu. Ia menyebabkan berlakunya pergerakan struktur tanah.
“Selain tarikan buat pemburu emas, kami juga bimbang ia menyebabkan berlakunya tragedi tidak diingini ketika aktiviti berkenaan sedang dilakukan,” katanya.-UTUSAN.










