MEDIA MULIA
KUALA LUMPUR: Pada ketika dunia berdepan cabaran dunia digital dan persaingan industri minyak dan gas yang semakin sengit, GISSCO Sdn Bhd terus kekal menjadi antara pemain utama berteraskan kerjasama berpasukan yang utuh.
Menurut Pengarah Urusan GISSCO, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid, kekuatan organisasi itu terletak kepada kesatuan dalam seluruh kakitangannya yang menjadikan syarikat tersebut terus relevan sehingga ke hari ini.
“Untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang sangat kompetitif bukanlah satu tugas mudah. Namun, GISSCO mampu bertahan dan terus berkembang kerana asas kami ialah kerja berpasukan yang kukuh. Ini adalah kejayaan bersama daripada kakitangan lapangan hingga kepimpinan pengurusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, kejayaan GISSCO juga merupakan hasil usaha konsisten selama hampir lima dekad dalam memperkasa bakat tempatan serta beradaptasi dengan keperluan semasa industri.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, syarikat itu komited untuk meneruskan transformasi digital, memperluaskan rangkaian perkhidmatan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem minyak dan gas negara sebagai syarikat Bumiputera pemegang Lesen PETRONAS 001.
GISSCO kini bakal memasuki fasa pertumbuhan baharu, seiring sambutan ulang tahun ke-50 yang bakal diraikan menerusi Majlis Gala Jubli Emas dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 pada September ini.-UTUSAN