F/A-18 Hornet Kuwait: Keputusan muktamad masih belum dibuat

F/A-18 Hornet Kuwait: Keputusan muktamad masih belum dibuat

MUHAMMAD NORAZLAN ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih dalam proses penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan pembelian jet pejuang F/A-18 C/D Hornet milik Kuwait atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, tiada keputusan muktamad dibuat pada masa ini.

Pengakuan Muhammad Norazlan itu sekali gus menepis dakwaan kononnya perolehan tersebut dibatalkan.

Katanya, TUDM akan menghantar pasukan penilai yang terdiri daripada 11 orang ke Kuwait pada September ini bagi meneliti secara menyeluruh pesawat berkenaan.

“Masih banyak proses yang perlu dilakukan sama ada ia berbaloi untuk digunakan TUDM untuk 10 sehingga 15 tahun akan datang atau sebaliknya. Begitu juga dalam aspek penyelenggaraan.

“Malah, sudah banyak negara yang menggunakan Super Hornet berbanding Hornet pada masa ini. Jadi banyak aspek yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan sama ada untuk membatalkan atau meneruskan pembelian berkenaan,” katanya semalam.

Dalam laporan sebuah portal yang memetik sumber sebelum ini mendakwa bahawa perjanjian perolehan aset tersebut dibatalkan selepas peningkatan kos naik taraf yang tinggi selain jadual penghantaran yang tidak pasti.

Malaysia dijangka bakal menerima sehingga 33 buah pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait sebagai langkah memperkasakan keupayaan pertahanan udara TUDM.

Rancangan perolehan pesawat pejuang F/A-18 C/D Hornet milik Kuwait berdasarkan kesesuaian semasa selari rancangan pemodenan aset milik TUDM.

Keputusan membeli pesawat itu bagi mengisi sementara keperluan TUDM susulan beberapa aset udara yang akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat.

Perolehan berkenaan wajar jika dilihat pesawat ini hanya merekodkan antara 2,000 hingga ke 3,000 jam waktu penerbangan daripada 6,000 hingga 7,000 jam waktu penerbangan maksimum.

Sebagai rekod, F/A-18 Hornet Kuwait daripada varian C dan D hanya digunakan negara tertentu termasuk AS, Kuwait, Finland dan Malaysia sahaja.

Walaupun F/A-18 Hornet merupakan pesawat generasi keempat, ia mampu ditingkat upaya perisian dan system avionik sehingga berkeupayaan mengesan musuh lebih jauh selain berkemampuan menembak musuh dengan menggunakan bore sight (pelarasan sistem senjata pesawat selari dengan sistem lain seperti radar dan targeting pod).

Ketika ini, aset pesawat tempur TUDM terdiri daripada F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM buatan Russia.

Sementera itu, Muhamad Norazlan berkata, tiada tarikh tepat dapat diputuskan TUDM buat masa ini bagi penghantaran tim penilai ke negara berkenaan.

“Walaupun secara asasnya kelulusan telah diterima daripada pihak Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan Malaysia menilai dokumen teknikal dan fizikal pesawat terbabit, tiada tarikh rasmi.

“Banyak prosesnya. Kuwait juga perlu membuat permohonan kepada AS walaupun mereka sendiri telah menjemput kita sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×