PETALING JAYA: Empat syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengalami kerugian, berdasarkan maklumat daripada laporan kewangan beraudit 2023.
Antara syarikat berkenaan ialah Prasarana Sdn. Bhd. (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).
Menurut Kementerian Kewangan, kebanyakan syarikat berkenaan melaksanakan projek infrastruktur awam terutama pengangkutan rel dan infrastruktur jambatan, mengalami kerugian bagi menyokong penyediaan perkhidmatan untuk keselesaan rakyat dengan kadar tambang yang murah dan berpatutan.
Katanya, MKD sebagai pemegang saham majoriti syarikat sentiasa berusaha meningkatkan kawalan bagi memantau prestasi syarikat dari segi kewangan dan tadbir urus supaya operasi syarikat MKD selaras dengan objektif penubuhan dan mandat yang ditetapkan.
“Antara langkah yang diambil untuk meningkatkan pemantauan terhadap syarikat MKD adalah melalui pembentangan pelan perniagaan tahunan syarikat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat dan laporan pencapaian KPI setiap suku tahun, Pelaporan Penyata Kewangan Beraudit Tahunan dan Pelaporan Pengurusan Kewangan Suku Tahun.
“Syarikat MKD yang gagal mencapai sasaran KPI juga diminta mengemukakan penjelasan lanjut dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan syarikat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai senarai 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatatkan kerugian tertinggi dan langkah serta tindakan undang-undang yang diambil kerajaan untuk menangani kerugian itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut memaklumkan, beberapa syarikat MKD lain berjaya mencatatkan keuntungan, iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd dan SIRIM Berhad.
Kementerian berkata, syarikat GLC di bawah MKD ditubuhkan bukan berorientasikan keuntungan tetapi untuk tujuan tertentu berdasarkan mandat yang ditetapkan kerajaan, antaranya menyediakan perkhidmatan dan obligasi sosial kepada rakyat, seperti perkhidmatan pengangkutan/infrastruktur awam dan utiliti.
Selain itu, menggalakkan pembangunan ekonomi melalui sokongan kepada pewujudan industri baharu, terutama yang memerlukan modal awalan yang besar dan menggalakkan pembangunan teknologi, seperti aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta menarik pelabur tempatan dan asing melabur dalam bidang khusus yang bernilai tinggi, seperti kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi dan teknologi maklumat.
“Ia juga bagi memenuhi jurang pasaran yang tidak diceburi sektor swasta dan mengekalkan kepentingan kerajaan dalam sektor strategik,” katanya. – UTUSAN










