Bukit Fraser perlu dilindungi, henti pembangunan

Bukit Fraser perlu dilindungi, henti pembangunan

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan audit teknikal dilaksanakan segera di cerun-cerun utama di laluan masuk ke Bukit Fraser, Pahang serta kawasan kritikal yang pernah mencatatkan insiden tanah runtuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Sebarang bentuk pembangunan di Bukit Fraser, dekat sini perlu dihentikan berikutan kebimbangan terhadap tekanan yang bakal dihadapi ekosistem hutan sekiranya landskap semula jadi kawasan tanah tinggi itu diubah.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kawasan tersebut mempunyai keunikan ekologi yang perlu dipulihara dan sebarang aktiviti pembangunan boleh membawa kesan jangka panjang terhadap keseimbangan alam sekitar.

Kata beliau, kira-kira 44 peratus kawasan Bukit Fraser terdiri daripada cerun curam manakala hanya lapan peratus merupakan kawasan rata menjadikan lokasi tersebut begitu sensitif terhadap sebarang gangguan fizikal.

“Pembangunan yang melibatkan penebangan hutan, pembinaan infrastruktur atau pengubahsuaian tanah berpotensi menjejaskan habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna termasuk yang dilindungi.

“Secara semula jadi pun tanah runtuh boleh berlaku apabila ada pokok mati, pokok tumbang atau hujan lebat berlebihan. Pokok yang mati atau tumbang mendedahkan permukaan tanah dan menyebabkan hakisan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan Bukit Fraser yang merupakan destinasi pelanco­ngan tanah tinggi popular kini berdepan cabaran keselamatan ekoran kewujudan lokasi tanah runtuh pendam (TRPL).

Ia ibarat ‘bom jangka’ yang berisiko tinggi aktif semula khususnya selepas hujan berterusan dan gangguan terhadap struktur cerun asal. Difahamkan, sebanyak 139 kejadian tanah runtuh sudah direkodkan berlaku sejak beberapa tahun ini dengan 60 daripadanya menghalang laluan utama.

Semalam, sebagai mengulas laporan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan audit teknikal dilaksanakan segera di cerun-cerun utama di laluan masuk ke Bukit Fraser, Pahang serta kawasan kritikal berhampiran, khususnya lokasi yang pernah mencatatkan insiden tanah runtuh.

Ahmad dalam pada itu berkata, kawasan tanah tinggi Bukit Fraser yang terkenal sebagai destinasi pemerhatian burung antarabangsa perlu dikekalkan sebagai zon perlindungan ekologi tanpa sebarang pembangunan baharu.

Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kelestarian habitat burung yang menjadi tarikan utama pelancong dan penyelidik dari dalam dan luar negara.

“Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi, memiliki lebih 800 spesies burung termasuk spesies tempatan, hijrah dan endemik. Di Bukit Fraser sahaja, terdapat lebih 20 spesies burung endemik dan pelbagai spesies burung hijrah yang menjadikan kawasan ini sebagai persinggahan penting dalam laluan migrasi mereka,” katanya.

Menurutnya, pemantauan berterusan diperlukan bagi mengemaskini data populasi burung serta mengenal pasti spesies yang terancam dan burung asing yang dilepaskan manusia.

“Kerajaan dan pihak swasta disaran menaja pakar pengecaman burung dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjalankan aktiviti pemantauan secara berterusan. Program latihan bersama pelajar sekolah dan universiti dengan bimbingan pakar juga boleh membantu memperkukuh usaha pemuliharaan.

“Bukit Fraser berpotensi menjadi destinasi avitourism bertaraf dunia, setanding India, China, Thailand, Costa Rica dan Alaska. Avitourism, iaitu pelancongan berasaskan pemerhatian burung di habitat semula jadi, kini menjadi sektor pelancongan penting yang menyumbang kepada pemuliharaan dan kesedaran awam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN