BN tanggung ‘liabiliti’ jika dengan GRS

BN tanggung ‘liabiliti’ jika dengan GRS

SUHAIMI NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keengganan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah kerana tidak mahu menanggung ‘liabiliti’ meskipun Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bekerjasama dengan parti berke­naan.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, langkah itu akan menyebabkan BN Sabah turut terpalit dengan pelbagai isu yang membelenggu GRS ketika ini.

Katanya, sebarang bentuk kerjasama antara di antara kedua-dua parti itu tetap tidak memberi keuntungan kepada BN Sabah meskipun GRS pada ketika ini berada di tampuk kepemimpinan kerajaan negeri.

“Kami bukan tidak mahu bergabung, mahu juga untuk perpaduan. Tetapi kalau bergabung akan terpalit juga isu rasuah, isu pentadbiran, belum lagi pembohongan macam-macam.

“Kalau kami gabung, mereka akan jadi kami punya liabiliti. Kami ini sewaktu kempen hendak lindung mereka yang punya masalah? Rakyat sekarang marah dengan masalah air, elektrik, jalan, hendak jawab macam mana?” soalnya ketika ditemubual Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Presiden GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan PH, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai strategi pilihan raya yang akan diambil gabungan itu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun turut berkata, kerjasama GRS dan PH membantu menstabilkan landskap politik Sabah dan membolehkan kerajaan negeri memberi tumpu­an kepada keutamaan pembangunan termasuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan pertembungan banyak penjuru yang akan dihadapi semua parti dalam PRN Sabah, Suhaimi berkata perkara itu akan mengundang defisit kepercayaan terhadap pemimpin politik pada hari ini yang dilihat tiada hala tuju dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Jadi kalau ini berlaku, nampak rakyat akan hilang keyakinan Sabah ini mahu dibawa ke mana? menuju ke arah yang macam mana? Sebab kita lihat bukan isu parti nasional atau parti tempatan tetapi kita masih di dalam tampuk kepimpinan yang sama.

“Akhirnya timbul persepsi rakyat untuk tidak mahu turun (mengundi) sekiranya isu-isu ini tidak diselesaikan dalam tempoh yang cepat, rakyat akan menilai hilang kepercayaan pada kerajaan,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN