Berdosa saya halang suami pulang ke rumah – Nora

Berdosa saya halang suami pulang ke rumah – Nora

NORA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, menegaskan dia tidak pernah menghalang suaminya, Dr. Rushdi Ramli pulang ke rumah meskipun mereka sekarang ini sedang melalui proses perceraian.

Kata penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, beliau sedar Dr. Rushdi masih bergelar suaminya yang sah, justeru sentiasa mengalu-alukan kepula­ngannya ke kediaman mereka.

“Saya sibuk bekerja, jadi saya tidak ambil tahu sangat sama ada dia pulang ke rumah saya atau tidak.

“Apa pun saya tidak ada hak untuk halang dia ke rumah saya kerana kami masih bergelar suami isteri. Berdosa saya kalau berbuat demikian.

“Sebagai isterinya, saya ma­sih hormat dia. Kalau pun ditakdirkan dia jadi bekas suami saya, saya tetap akan hormat dia. Itu prinsip saya,” katanya.

Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada pagi semalam bagi proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkenaan prosiding kes perceraiannya.

Beliau hadir ke mahkamah di­temani kakak angkatnya Ra­feah Ariffin.

Nora dalam pada itu memaklumkan beliau bersedia menjalani proses hakam pada September depan selepas suaminya, Dr. Rushdi Ramli bertegas untuk tidak melafazkan cerai.

“Saya sudah lakukan apa yang sepatutnya dan sudah tunaikan setiap permintaan.

“Malangnya, kuasa talak itu bukan pada saya. Proses mahkamah dilanjutkan kerana suami enggan melepaskan saya. Oleh itu mahkamah telah me­netapkan proses hakam pada 3 September ini.

“Kepada mana-mana pihak yang masih hendak berhujah dan sebagainya, silalah berbuat demikian.

“Saya kalau boleh tidak lagi mahu masuk campur dan sebolehnya ingin segera keluar daripada keadaan yang toksik ini,” katanya.

Nora sekitar Ogos tahun lepas diceraikan Dr. Rushdi menerusi sebuah video.

Mereka bagaimanapun kembali rujuk selepas sebulan meng­umumkan perceraian tersebut.

Kemelut rumah tangga pe­nyanyi itu memasuki episod baharu apabila Nora memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Mac tahun ini.

Ibu empat cahaya mata itu memaklumkan keputusan ber­kenaan diambil demi meme­nuhi permintaan isteri pertama Dr. Rushdi, Ustazah Rose Aliza Sutrisno selain desakan pihak ketiga.

Terdahulu, Nora sah bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul itu pada hujung 2021.

Penyanyi lagu Di Persimpa­ngan Dilema tersebut pernah mendirikan rumah tangga de­ngan komposer Allahyarham Johan Nawawi pada 1992.

Mereka dikurniakan empat anak iaitu Putri Nor Dahlia, Mohd. Syakir Iman, Mohd. Syakir Alif dan Putri Nor Fathehah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN