TELUK INTAN: Seorang lelaki dari Kampung Bolok Hilir, Lanchang, Pahang mengambil kesempatan cuti hujung minggu menempuh perjalanan lebih 2,000 kilometer melalui beberapa negeri hanya dengan menaiki skuter yang dihias Jalur Gemilang.
Dzulkaranaen Adanan, 50, berkata, dia memulakan perjalanan dari Lanchang pada pagi Sabtu lalu ke Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan tiba di Teluk Intan kelmarin.
Dia kemudian meneruskan perjalanan ke Lumut, Perak; Cameron Highlands, Pahang dan kembali ke Lanchang.
Menurutnya, dia mempunyai dua misi dalam perjalanannya menunggang skuter iaitu sempena hari kebangsaan dan mahu menjejakkan kaki ke bandar Teluk Intan untuk melihat Menara Condong.
“Saya memilih menunggang skuter kerana perjalanan menjadi lebih mudah. Dapat berhenti di mana-mana yang sesuai dan menikmati pemandangan di satu-satu tempat berbanding membawa kereta.
“Sepanjang perjalanan saya suka melihat alam semula jadi suasana kampung sambil membawa mesej meraikan Hari Kebangsaan dengan cara menghias skuter dengan Jalur Gemilang.
“Saya seronok kerana dapat menjelajah sambil melihat suasana sambutan hari kebangsaan di banyak tempat di sepanjang jalan yang saya lalui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dia juga gembira kerana akhirnya dapat melihat Menara Condong kerana sudah lama berhasrat untuk melihat bangunan itu.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menjejak kaki ke sini dan melihat menara ini, binaannya sangat cantik dan mengagumkan.
“Saya gembira bukan sahaja dapat melihat menara ini tetapi mengelilingi beberapa negeri dengan skuter sempena hari kebangsaan Saya guna kesempatan cuti hujung minggu untuk menempuh jarak perjalanan lebih 2,000 kilometer.
“Perjalanan yang saya tempuh sangat menarik walaupun berdepan cuaca yang tidak menentu,” katanya.-UTUSAN.










