Bapa dikhuatiri lemas semasa cuba selamatkan anak

Bapa dikhuatiri lemas semasa cuba selamatkan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa cuba menyelamatkan anak perempuannya yang dipercayai hanyut semasa mandi di Sungai Kelantan di Kampung Sat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Saifuldin Ramli, 46, hilang di dalam sungai tersebut sebaik sahaja menyelamat anaknya yang berusia 12 tahun.

Sepupu mangsa, Roslina Ramli, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas didatangi seorang penduduk kampung yang menghantar anak mangsa ke rumah sebaik diselamatkan dan terus menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

“Saya kemudian bergegas ke sungai dan mendapati penduduk turut membantu mencari mangsa di sungai berkenaan. Setakat ini, mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Roslan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.26 malam sebelum sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, seorang lelaki hilang selepas menyelamatkan anaknya yang lemas ketika mandi di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka.

“Operasi mencari dan menyelamat akan dilakukan pagi esok sekiranya mangsa gagal ditemukan malam ini. Buat masa ini, kita hanya melakukan pemantauan di sepanjang sungai tersebut pada malam ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN