KUALA PILAH: Tarikh keramat 31 Ogos 1957 turut menyimpan kisah tersendiri buat seorang pesara guru Razali Yassin, 68, yang turut dilahirkan pada tarikh yang sama.
Dia memberitahu, kelahirannya pada hari berkenaan hampir membuatkan dia digelar Muhammad Merdeka.
Razali berkata, cadangan nama itu timbul daripada gurauan rakan-rakan bapanya selepas mendengar berita kelahirannya pada hari pengisytiharan kemerdekaan negara.
Anak kedua daripada lapan orang adik-beradik itu memberitahu, dia dilahirkan di rumahnya yang terletak di Kampung Tulang Rimau, Dangi di sini sekitar pukul 4 pagi dengan bantuan bidan kampung, sebelum kelahirannya dilaporkan ke balai polis.
“Saya dilahirkan sekitar pukul 3 pagi pada 31 Ogos 1957 di rumah di Kampung Tulang Rimau, Dangi. Pada ketika itu, setiap kelahiran perlu dilaporkan dan didaftarkan di balai polis berhampiran.
“Arwah abah pernah bercerita dengan saya, dulu kawan-kawannya mencadangkan untuk beri saya nama Muhammad Merdeka. Abah tidak ikut cadangan mereka dan memang abah sudah ada nama yang ingin diberi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Air Mawang, Johol, Kuala Pilah.
Menurut Razali, semasa kecil dia tidak menyedari keistimewaan tarikh kelahirannya itu dan menganggap ia sama seperti hari biasa.
“Masa kecil-kecil dulu, tiada rasa pelik pun, rasa biasa sahaja. Namun, apabila sudah semakin mendewasa barulah saya bangga dan faham nilai tarikh itu kerana seiring dengan kemerdekaan negara,” katanya.
Tambahnya, dia juga sering bergurau dengan rakan-rakannya kononnya seluruh negara bercuti sempena hari lahirnya.
“Kadang-kadang ketika bergurau dengan rakan-rakan yang tahu tentang tarikh kelahiran saya, saya akan berseloroh dengan mereka yang satu Malaysia akan bercuti semasa hari kelahiran saya,” katanya.
Menyingkap kembali memori, Razali berkata, ketika dirinya masih menuntut di lnstitut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, dia pernah dijemput untuk ditemu bual oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-18.
“RTM pernah datang ke maktab bagi membuat rakaman radio untuk slot ‘Anak Merdeka’. Mereka meminta pihak institusi mencari pelajar yang lahir pada tarikh 31 Ogos 1957. Selepas temu bual itulah, barulah rakan-rakan pengajian yang lain tahu tentang tarikh kelahiran saya,” katanya.
Katanya, setiap tahun anak-anaknya juga tidak pernah gagal untuk pulang berkumpul bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada hari kebangsaan itu.
“Saya harap kita bukan sahaja dapat mendapatkan membangunkan negara secara fizikal, tetapi juga memastikan nilai saling menghormati antara satu sama lain terus diwarisi. Itulah amanah kita kepada anak cucu nanti,” katanya.-UTUSAN.










