KUALA LUMPUR: Undi tidak percaya hanya boleh dilakukan dalam bentuk dua kaedah yang sah di sisi undang-undang, bukan dibuat secara sulit.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dua kaedah tersebut adalah undi suara sama ada setuju atau sebaliknya dan undi secara belah bahagi apabila terdapat sekurang-kurangnya 15 pihak yang tewas pengundian secara suara lalu menuntut undi menggunakan kaedah berkenaan.
Dalam hal ini, katanya, ia memerlukan ketelusan daripada setiap ahli Parlimen dalam membuat sesuatu keputusan tanpa ‘diikat’ oleh pihak tertentu bagi menghasilkan keputusan yang benar-benar tepat, termasuklah dalam isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
“Di sinilah ahli Parlimen menunjukkan watak dan karakter sebenar mereka, sama ada tunduk kepada tekanan whip parti masing-masing ataupun ikut keputusan dan pertimbangan rasional. Dengar kata hati seseorang Ahli Parlimen.
“Jadi jika ada undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen, maka undi itu mestilah dibuat menurut kaedah yang diguna pakai selama ini di Parlimen Malaysia.
“Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, tidak boleh jadi lembu atau kerbau yang dicucuk hidungnya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencabar kerajaan dengan menuntut usul undi tidak percaya diadakan secara sulit terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, tindakan tersebut wajar dilakukan bagi menjamin ketelusan sesuatu undi daripada ahli parlimen yang dikatakan mungkin ada tekanan atau sebaliknya daripada pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, untuk mengadakan usul undi tidak percaya secara sulit, keputusan tersebut boleh dicabar di peringkat mahkamah.
“Rakyat umum di seluruh negara dan para pengundi di kawasan Parlimen dapat melihat dan melakukan semakan di laman web Parlimen bagaimanakah wakil rakyat mereka mengundi.
“Juga media memeriksa dengan telus apakah undi yang dilakukan oleh seseorang ahli Parlimen sama ada Ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang.
“Undi sulit jika dilakukan akan menjadikan proses pengundian itu tidak sah dan boleh dicabar di mahkamah kerana parlimen Malaysia bukannya supreme,” ujarnya lagi.-UTUSAN.










