PETALING JAYA: Aktiviti bangun seawal pukul 3 pagi, melakukan meditasi seperti yoga dan mengulang-ulang lafaz tertentu seperti ‘nak kaya’ dikenal pasti antara amalan yang terkandung dalam modul motivasi berunsur fahaman New Age Movement.
Penyelidik isu-isu akidah, Dr. Mohamad Razif Mohamad Fuad mendedahkan, pendekatan dalam seminar seperti itu turut melibatkan penyalaan lilin di sekeliling peserta, duduk atau berbaring sambil diiringi muzik berulang bagi mencetuskan pengalaman luar biasa.
Jelasnya, antara arahan yang diberikan adalah membayangkan roh keluar daripada jasad, satu amalan yang didakwa membawa kepada pengalaman spiritual, namun jelas bertentangan dengan akidah Islam.
“Saya pernah menemubual beberapa peserta yang mengaku melalui pengalaman seperti roh keluar daripada tubuh. Namun hakikatnya, itu hanyalah permainan jin dan syaitan semata-mata.
“Terdapat juga modul yang kononnya bertujuan ‘membaiki’ masa silam dengan membayangkan proses pembaharuan roh. Maka, muncul istilah seperti refresh dan rebirth, sedangkan itu hanyalah ilusi emosi sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Jabatan Mufti Negeri Pahang menzahirkan kebimbangan terhadap penularan fahaman New Age Movement yang dikesan menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam, khususnya menerusi seminar motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif serta program pembangunan spiritual.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim memaklumkan, gerakan itu membawa fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam termasuk unsur pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan wahyu dan syariat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar turut mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyiasat sebuah kumpulan yang didakwa menyebarkan ajaran sesat secara halus melalui program kerohanian dan motivasi rumah tangga.
Motivator program itu turut dikatakan menganut ajaran sesat bahaya yang didakwa pengamal ajaran batin dan New Age Movement yang jauh menyimpang daripada syariat Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman turut meminta peserta yang pernah menyertai program eHati wajib bertaubat segera kerana terlibat dalam aktiviti bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Beliau berkata, program bertopengkan penyembuhan diri dan kelahiran semula, membawa ajaran sesat dan merosakkan akidah kerana ritual pelik seperti ‘mandi rebirth’ tidak pernah diajar dalam Islam kerana penyucian diri hanya berlaku melalui taubat, solat, zikir dan amal kebaikan.
Mengulas lanjut, Mohamad Razif yang memiliki kelulusan dalam bidang akidah dan pemikiran Islam dari Universiti Malaya (UM) berkata, fahaman New Age Movement berakar dari Amerika Syarikat sekitar tahun 1960-an sebelum berkembang ke seluruh dunia.
“Ajaran ini menggabungkan pelbagai elemen agama seperti Hindu, Buddha dan kepercayaan mistik purba seperti Kabbalah dari Mesir. Unsur-unsur spiritual daripada agama-agama tersebut dicantum menjadi satu fahaman baharu,” katanya. – UTUSAN










