YIM cari inovasi baharu untuk dikomersial

YIM cari inovasi baharu untuk dikomersial

SHARMILA Mohamed Salleh menunjukkan baju bercorak etnik Sabah yang dihasilkan oleh Anne Antah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sedang giat mencari inovasi-inovasi baharu di seluruh negara untuk diketengahkan bagi tujuan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, berkata, pihaknya juga baru menjalankan satu projek perintis untuk mencari inovator baharu bagi tujuan itu.

“YIM ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak 2008 sebagai sebuah yayasan yang berstatus syarikat tetapi bukan bermotifkan keuntungan.

“Mandat kami yang diberi di bawah MOSTI adalah untuk mencari inovasi kemudian membangun dan memadankan inovasi tersebut dengan dana pembangunan.

“Jadi, kami sedang mencari inovasi-inovasi yang memberi impak kepada sosial, ekonomi dan alam sekitar untuk ditampilkan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu katanya, seramai 11 inovator dari pelbagai daerah di negeri ini telah menyertai projek tersebut dan diberi geran yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi sebanyak RM80,000 seorang.

Beliau berkata, semua pe­serta berjaya dengan inovasi masing-masing dan kini mengembangkan perniagaan mereka dengan harapan boleh menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurut beliau, salah seorang peserta tersebut ialah pengasas Chanteek Borneo Sdn. Bhd, Anne Antah yang terkenal dengan rekaan tekstil bercorak etnik Sabah dan kraftangan.

Sharmila berkata, YIM juga sedang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menghasilkan aplikasi atau gajet bagi membantu pendaki gunung yang dijangka siap pada tahun 2026.

Tambahnya, projek ini akan menjamin lokasi sebenar pendaki, mengemas kini tahap kesihatan mereka dan laluan yang digunakan bagi membantu terutamanya individu yang tidak mempunyai latihan atau stamina untuk mendaki.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN