Titah Adendum wajar dilaksanakan, bukan khabar angin - Utusan Malaysia

Titah Adendum wajar dilaksanakan, bukan khabar angin

MOHD. Sharkar Shamsudin (tengah) Merasmikan Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Karang, Kuala Selangor di Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memperkenankan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah perlu dihormati dan wajar dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana kewujudan titah itu tidak dinafikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) menjadikannya bukan khabar angin.

“Titah Adendum itu tidak dinafikan kewujudannya oleh Jabatan Peguam Negara, sekali gus menamatkan segala spekulasi.

“Titah tersebut memberi ruang kepada Datuk Seri Najib yang juga bekas Perdana Menteri untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, tertakluk kepada kuasa Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah melaksanakan Titah Adendum bukan sahaja penting dari sudut keadilan, tetapi juga sebagai cerminan hubungan antara institusi politik dan raja berperlembagaan yang perlu dihormati semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Merasmikan Mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjung Karang, Selangor hari ini.

Pada 9 Julai lalu, AGC tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum oleh Yang Dipertuan Agong Ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pelbagai pihak menuntut ketelusan serta penghormatan terhadap institusi raja berperlembagaan, sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan selaras dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN