Titah Adendum tentang hormat kepada undang-undang negara

Titah Adendum tentang hormat kepada undang-undang negara

MD. Jais Sarday dan Abdul Ghani Abdul Rashid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pelaksanaan Titah Adendum berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan soal melibatkan individu semata-mata sebaliknya penghormatan undang-undang negara.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, kewujudan titah tersebut telah disahkan secara sah oleh Istana Pahang dan turut diperakui Jabatan Peguam Negara ketika prosiding mahkamah baru-baru ini sekali gus menunjukkannya adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

Katanya, perkara itu menyentuh kedaulatan undang-undang yang mesti ditegakkan, penghormatan sistem Raja Berperlembagaan dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan tanpa pilih kasih.

“Adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan ti­tah ini sepenuhnya kepada pihak eksekutif dan Peguam Negara selaku penasihat undang-undang kerajaan.

“Tiada sebab dan tiada keper­luan untuk menangguhkan pe­laksanaan titah tersebut kerana ia adalah dibuat secara sah dan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Kelewatan atau keengganan untuk melaksanakan Titah Adendum ini bukan sahaja mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab malah memberi gambaran bahawa sekolah-olah prinsip keadilan dan Perlembagaan negara diketepikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, seramai 145 Ke­tua UMNO Bahagian seluruh negara mendesak supaya kerajaan segera mengambil tanggungja­wab penuh melaksanakan Titah Adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Ia susulan Jabatan Peguam Negara tidak mempertikal Titah Adendum yang dikatakan titah oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid pula berkata, perjumpa­an ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara itu adalah inisiatif sendiri mereka dan tidak melibatkan kepimpinan parti.

Katanya, tujuan perjumpaan itu adalah untuk menyatakan solidariti atas isu pelaksanaan Titah Adendum itu.

“Saya menyokong memorandum Ketua Bahagian UMNO seluruh negara supaya segerakan pelaksanaan titah ini terhadap Najib,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN