ARAU: UMNO Bahagian di seluruh negara hanya ingin menyatakan solidariti terhadap Titah Adendum agar segera dilaksanakan selepas ia telah diakui wujud oleh Jabatan Peguam Negara.
Justeru, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, ketua-ketua Bahagian UMNO hanya mahu kerajaan segera bertanggungjawab melaksanakan titah yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah.
Katanya, sebelum ini, Titah Adendum tersebut dikatakan masih samar sama ada wujud atau tidak namun Peguam Negara yang baharu ini sendiri telah mengakui kewujudannya.
“Apabila sudah diakui wujud, kita hanya mahu ia segera dilaksanakan dan kita perlu menjunjung titah Raja dan mendukung keadilan, bukan menghalangnya,” katanya merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 160 Bahagian UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab supaya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah dilaksanakan.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan tidak lagi mempunyai alasan munasabah untuk melengahkan pelaksanaan titah diraja itu yang dianggap jelas dan muktamad.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais pula berkata, desakan bagi pelaksanaan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu adalah wajar memandangkan ia telah dibuktikan wujud dan sahih.
Katanya, Anwar sewajarnya menggunakan kuasa eksekutif beliau sebagai Perdana Menteri bagi melaksanakan Titah Adendum tersebut.
“Titah ini wajar dilaksanakan kerana ia wujud dan kami ketua-ketua Bahagian UMNO di seluruh Malaysia mendesak Anwar menangani perkara ini supaya nasib Najib terbela.
“Jika desakan itu tidak mendapat perhatian, Ketua-Ketua UMNO bahagian terlibat akan mengadakan perbincangan lanjut selepas ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya lagi, setiap tindakan yang dilakukan perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira kedudukan kerajaan Perpaduan.
“Tapi bagaimanapun pelaksanaan Titah Adendum itu tetap juga perlu dilaksanakan dan Anwar harus ambil tindakan dalam hal ini,” katanya.-UTUSAN