RAUB: Seluruh rakyat di negeri ini dan umat Islam di negara ini diminta memperbanyakkan solat hajat dan doa memohon hujan sebagai ikhtiar bersama menangani krisis jerebu yang kian meruncing.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, yang menjadi antara punca utama kepada pencemaran udara dan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.
“Saya harap jerebu ini dapat dikurangkan pada masa akan datang. Doakan hujan turun, insya-Allah. Buatlah solat hajat, mohon kepada Allah SWT agar jerebu ini berkurang dan terus tiada,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas menyantuni balu Allahyarham Tengku Badli Tengku Jaafar di Felda Lembah Klau di sini.
Titah Al-Sultan Abdullah, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan mengutamakan keselamatan serta kesihatan diri, terutama kanak-kanak yang terdedah kepada risiko penyakit akibat pencemaran udara.
“Nasihat saya kepada mereka yang masih melakukan pembakaran terbuka, eloklah dihentikan. Ia amat merugikan dan memberi kesan langsung kepada kesihatan rakyat.
“Jika keadaan jerebu ini semakin teruk, elakkan anak-anak bermain di luar rumah. Jaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” titah baginda.
Sebelum ini, beberapa kawasan di Pantai Timur dan Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat berikutan cuaca panas dan aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal.
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sudah mengeluarkan amaran agar pembakaran sisa pertanian dan kebun dihentikan serta-merta bagi mengekang penularan jerebu. – UTUSAN