KANGAR: UMNO tidak menghalang sebarang perhimpunan yang menjadi hak semua pihak termasuk pembangkang, namun apa yang lebih penting mereka perlu tertib dan menjaga keamanan serta keharmonian.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perhimpunan adalah hak semua pihak dalam negara demokrasi yang menjunjung Perlembagaan.
Katanya, semua parti sudah merasai menjadi kerajaan dan apabila mereka ketika ini menjadi pembangkang ingin berhimpun atas apa jua nama, perlu diterima.
Ujarnya, semua pihak termasuk kerajaan sendiri menghormati demokrasi dan hak untuk bersuara.
“Apa yang paling penting jaga tertib, keamanan dan keharmonian dengan tidak menimbulkan perkara boleh merosakkan keamanan dan kesejahteraan yang ada.
“Malah, Perdana Menteri sendiri memaklumkan bahawa polis akan membantu memastikan keamanan terpelihara. Terserahlah kepada pembangkang hendak bawa ahli seramai mana,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Kelmarin Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati demokrasi dan hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan.
Malah, Perdana Menteri juga sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam terpelihara.
Perhimpunan ‘Turun Anwar’ dijadual berlangsung esok di ibu negara yang dijangka menarik kehadiran puluhan ribu peserta khususnya dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Tambah Asyraf Wajdi, perhimpunan yang berlangsung itu dijangka dipenuhi oleh penyokong Pas yang cukup ramai.
“Ahli Pas ramai, kalau dari seluruh Malaysia berkumpul, maka penuhkan Kuala Lumpur,” katanya.-UTUSAN