RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 tarik keyakinan pelabur asing

PARLIMEN: RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 tarik keyakinan pelabur asing

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerangka perundangan korporat negara sekali gumampu meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap sistem kehakiman Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut memperkenalkan mekanisme pengurusan kes insolvensi rentas sempadan yang moden, efisien dan selaras dengan standard amalan antarabangsa.

“RUU ini juga menggalakkan kerjasama rasmi antara mahkamah dan pihak berkuasa pentadbiran insolvensi di Malaysia serta negara asing, yang sebelum ini hanya bergantung kepada prinsip comity,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Azalina, antara objektif utama RUU tersebut adalah menyediakan kepastian undang-undang kepada pelabur melalui prosedur pengiktirafan prosiding asing yang jelas, melindungi hak semua pemiutang termasuk pemiutang luar negara serta memastikan nilai harta penghutang dapat dipelihara dan dioptimumkan menerusi mekanisme seperti interim relief.

Selain itu, katanya, RUU berkenaan turut menyokong usaha penyelamatan syarikat yang masih berdaya maju selaras dengan pindaan terkini Akta Syarikat 2016.

“Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai kerangka undang-undang khusus dan menyeluruh bagi menguruskan kes insolvensi rentas sempadan. Amalan yang ada hanya berdasarkan keputusan mahkamah melalui doktrin comity dan kerjasama terhad seperti protokol bersama Mahkamah Singapura.

“Ketiadaan undang-undang khusus ini menyebabkan kelewatan dalam proses penyelamatan syarikat serta risiko kehilangan atau pemindahan aset kepada pihak yang tidak sepatutnya, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur asing,” jelasnya.

Tambah beliau, RUU ini dibangunkan berasaskan UNCITRAL Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI) yang telah diterima pakai oleh lebih 60 negara termasuk Singapura, Filipina, Myanmar dan terbaru, Arab Saudi.

Menurutnya, bagi memastikan dasar dan perundangan yang berkesan, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Induk Reformasi Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan yang dipengerusikan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Menteri Undang-Undang.

“Jawatankuasa ini turut disertai pelbagai agensi berkepentingan dalam ekosistem ekonomi dan kehakiman negara,” ujarnya.

Beliau berkata, RUU itu merangkumi 35 fasal yang dibahagikan kepada enam bahagian serta satu jadual dan akan diguna pakai ke atas entiti korporat seperti yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat Labuan 1990, kecuali badan berkanun.

Memandangkan RUU ini berpandukan perundangan model antarabangsa yang melibatkan pengiktirafan oleh mahkamah asing, teks sahih RUU tersebut ditetapkan dalam Bahasa Inggeris.

“Penggubalan RUU ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk membina persekitaran pelaburan yang progresif, telus dan berasaskan tadbir urus baik. Ia juga akan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global serta memastikan negara terus diyakini sebagai hab pelaburan dan perdagangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN