SEGAMAT: “Alhamdulillah, wang bantuan one-off RM100 itu mampu bantu tambah wang beli barang dapur.”
Demikian reaksi Ismail Badrulhisham, 39, selepas menerima berita bantuan RM100 secara one-off yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam kepada semua rakyat yang berusia 18 tahun ke atas menerusi MyKad mulai 31 Ogos ini.
“Lebih menggembirakan, bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah maknanya sebuah isi rumah
umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400.
“Mungkin bagi orang lain RM100 tidak banyak, tetapi bagi yang kurang berkemampuan nilai ini sangat besar yang
boleh memenuhi keperluan isi rumah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember tahun ini bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai kedai runcit di seluruh negara.
Anwar memaklumkan, bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2
billion.










