PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan 20 lagi saksi bagi membantu siasatan kes rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dalam kes terbabit dan seramai 12 individu telah selesai dirakam keterangan.
“SPRM menjangkakan kira-kira 20 saksi lagi akan diambil keterangan.
“Tiga suspek iaitu pengurus projek syarikat pembinaan dan dua pengarah syarikat masih dalam tahanan reman manakala seorang suspek wanita telah dibebaskan pada Ahad selepas remannya tamat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pengurus projek syarikat pembinaan pusat data yang ditahan baru-baru ini melalui Op Ways, dipercayai meminta bayaran kira-kira tiga peratus daripada mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan projek dari syarikat pembinaan terbabit.
Sumber dilaporkan berkata, ia dilakukan dengan membocorkan harga tender projek selain membantu memastikan syarikat-syarikat yang membayar rasuah untuk memenangi tender tersebut.
“Wang rasuah ini dibayar secara berperingkat mengikut progress pembayaran projek. Difahamkan terdapat beberapa juta lagi yang masih belum dibayar oleh syarikat kepada suspek sepertimana perjanjian mereka,” katanya.
Sumber turut berkata, SPRM turut mengenal pasti dua lagi syarikat yang memperoleh projek dengan merasuah pengurus projek syarikat pembinaan pusat data terbabit.
“Beberapa pengarah syarikat terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan untuk siasatan kes rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas dikejutkan dengan serbuan pada Khamis lalu.
Kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an telah ditahan menerusi Op Ways yang dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang.-UTUSAN.










