KANGAR: UMNO akan memastikan kerusi Parlimen Kangar kekal ditandingi calon dari parti itu dan tidak sewenang-wenangnya melepaskan kawasan berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, secara asasnya, kerusi tersebut adalah merupakan milik Barisan Nasional (BN) malah dalam pilihan raya sebelum ini juga, parti itu meraih kedudukan kedua tertinggi biar pun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).
Katanya, kerusi Parlimen berkenaan juga mempunyai potensi besar dimenangi calon BN dalam pilihan raya akan datang.
“Terdapat beberapa asas telah dipersetujui dalam kerajaan Perpaduan sebelum ini iaitu yang pertama, kerusi-kerusi menang itu akan dikekalkan dan kedua, parti mendapat tempat kedua tertinggi dalam PRU15, akan bertanding semula di kerusi itu.
“Manakala asas ketiga pula ialah kita akan berunding untuk pertukaran sesebuah kerusi. Dan di Kangar ini, saya lihat asas itu terletak dalam kategori kedua,“ katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Dalam PRU15, gelombang yang berlaku menyaksikan kejutan apabila calon PN, Zakri Hassan berjaya memenangi kerusi tersebut selepas meraih undian majoriti sebanyak 9,192 menerusi pertembungan lima penjuru.
Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan semangat ditunjukkan ahli-ahli UMNO di Kangar, beliau berpandangan parti itu boleh kembali menang di kawasan berkenaan dengan kerjasama semua pihak termasuk rakan-rakan kerajaan Perpaduan.
“Kalau kita bertanding satu lawan satu, ia akan beri manfaat kepada BN, seperti mana kita juga beri manfaat kepada kerusi-kerusi ditandingi PH.
“Contoh jelas adalah di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota sebelum ini di mana 10 pusat daerah mengundi (PDM) yang kita tidak pernah menang untuk empat pilihan raya berturut-turut telah dapat meraih kemenangan besar dengan penambahan majoriti selepas bentuk kerjasama satu lawan satu,” katanya.
Tambah beliau, secara asasnya, UMNO setakat ini juga tidak akan bergerak solo dalam PRU16 seperti mana dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
“Presiden sudah sebut bahawa UMNO tidak akan bertanding solo, dan kita dari dulu pun memang tidak pernah bertanding solo. Malah kerjasama yang kita bentuk ini pun adalah supaya kita tidak bertindih kerusi antara satu sama lain dalam pilihan raya kelak,” katanya.-UTUSAN