PRU16: UMNO Perlis sahut cabaran Zahid tawan Perlis - Utusan Malaysia

PRU16: UMNO Perlis sahut cabaran Zahid tawan Perlis

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kanan) dan Rozabil Abd. Rahman ketika merasmikan pejabat UMNO Bahagian Arau hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO negeri menyahut seruan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu parti tersebut kembali merampas kerusi yang kalah seterusnya menawan semula Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, cabaran yang dilontarkan Ahmad Zahid kepada UMNO di tiga bahagian di negeri ini menjadi semangat kepada mereka untuk terus bekerja lebih keras.

Beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Arau bersama Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais menerima cabaran oleh Ahmad Zahid itu seterusnya akan bekerja sehabis kuat dalam menghadapi PRU16.

“Kita terima cabaran ini dan bekerja sekuat yang mungkin untuk menghadapi PRU16 dan Insya-Allah memenangi pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pejabat UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kangar melontarkan cabaran kepada ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian di negeri ini agar kembali merampas negeri ini pada PRU16.

Sementara itu, Rozabil memberitahu, UMNO Bahagian dan negeri telah melancarkan logo terus berbakti yang simbolik kepada parti berkenaan yang terus berbakti kepada rakyat.

Katanya, ‘DNA’ UMNO sememangnya sinonim dalam memberi kebajikan kepada rakyat tanpa henti dan bakti yang ditaburkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama di Perlis dan negara ini akan sentiasa diteruskan.

“Inilah yang kita akan lakukan tanpa henti (khidmat dan bakti) tanpa mengira kaum dan fahaman politik,” katanya.

Seterusnya, Rozabil berkata, selepas PRU15 pada 2022, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah diberi peluang mentadbir negeri ini namun gagal diterjemahkan dengan baik apabila didapati tidak ada apa-apa pembangunan sama ada dalam aspek infrastruktur dan masyarakat.

“Maklumat diterima rakyat peringkat bawahan juga mendapati mereka merindui pentadbiran UMNO,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN