KUALA LUMPUR : Siasatan sedang dijalankan termasuk mendapatkan laporan forensik berhubung kerugian RM1.8 juta selepas kediaman dihuni cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Bukit Ledang di sini, dipecah masuk baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan pecah pada kediaman terbabit.
“Rumah itu merupakan milik Mirzan Mahathir tetapi didiami anaknya iaitu cucu Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Semasa kejadian dia (cucu) tiada di rumah. Kami difahamkan dia jarang tinggal di situ, cuma ada pembantu rumah serta penjaga,” katanya ketika ditemui selepas himpunan di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan polis dan mengesan pelaku kes terbabit.
“Kerugian dianggarkan RM1.8 juta lebih berbentuk kepada barang kemas lama, mungkin milik peribadi dan sebagainya,” ujarnya.
Difahamkan, dalam kejadian pada Rabu lalu itu disedari pembantu rumah mangsa kira-kira pukul 3 petang yang menghubunginya untuk memaklumkan bahawa pintu pagar bahagian belakang rumah telah dipotong dan bilik mangsa dimasuki pencuri.
Siasatan dijalankan polis termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediaman berkenaan.-UTUSAN.