PASIR MAS: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 10 ekor lembu dari Thailand selepas menahan sebuah lori menerusi Op Taring Kandang di Banggol Setol di sini tengah malam semalam.
Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rodaan rutin pada pukul 12.15 tengah malam anggota bertugas telah mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Kita turut menahan pemandu lori berusia 20 tahun bagi membantu siasatan. Lelaki berkenaan dipercayai bertindak sebagai penghantar lembu-lembu tersebut.
“Semasa ditahan suspek gagal mengemukakan dokumen sah berhubung pemindahan haiwan ternakan tersebut, seperti yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, lembu-lembu terbabit disyaki dibawa masuk secara haram dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk lori berjumlah RM150,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Kesemua ternakan itu diserahkan kepada JPV untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN