KOTA BHARU: Penganjuran program kesihatan yang melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah banglo di Kemumin, di sini tanpa makluman rasmi kepada pihak berkuasa negeri pada pertengahan Jun lalu mengundang tomahan termasuk terhadap Kerajaan Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menegaskan bahawa setiap bentuk penganjuran program walaupun bertujuan baik perlu mengikuti prosedur serta peraturan sedia ada.
“Pihak penganjur bertanggungjawab untuk memaklumkan lebih awal kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham atau persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Pemilihan tempat dan masa pelaksanaan juga perlu diambil kira dengan bijaksana. Penganjuran program yang berlangsung sehingga pukul 2 pagi di kawasan kampung seperti Kemumin sememangnya menimbulkan kegusaran masyarakat setempat.
“Tindakan sedemikian boleh ditafsir sebagai kurang sensitif terhadap suasana dan norma penduduk setempat. Maka tidaklah menghairankan sekiranya aduan dibuat kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengesahkan mengesahkan program diserbu polis Kelantan bulan lalu yang disyaki ada kaitan dengan agenda LGBT sebenarnya program kesedaran kesihatan berkaitan HIV.
Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya berpandangan sekiranya pihak berkenaan memberikan penjelasan awal ia mampu meredakan kekeliruan awam.
Katanya, kelewatan memberikan penerangan hanya akan mengundang pelbagai tafsiran yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
“Tambahan pula, difahamkan bahawa Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri sendiri tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penganjuran program tersebut.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran yang menimbulkan kekeliruan, mencetuskan keresahan masyarakat atau menggugat nilai moral serta adab yang telah sekian lama menjadi asas kesejahteraan rakyat negeri ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan menyerbu sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa disini yang dijadikan sebagai lokasi penganjuran ‘pertemuan’ gay pada pertengahan Jun lalu.
Susulan itu, Kerajaan Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan penganjur pertemuan gay serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung program tersebut yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk baru-baru ini.-UTUSAN