KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan sebarang pembabitan dalam penganjuran acara kesihatan yang diserbu polis baru-baru ini atas dakwaan membabitkan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini.
Pengarahnya Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, program itu dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC).
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MAC adalah rakan strategik dalam usaha memberikan kesedaran berkaitan kesihatan awam. Bagaimanapun, program berkenaan tidak diselaraskan oleh mana-mana pejabat kesihatan kerajaan.
“Pada program itu, pegawai kesihatan (Klinik Kesihatan Kota Jembal) hanya dijemput memberi ceramah kesihatan dalam salah satu sesi. Jadi, ia bukan program anjuran kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima, serbuan polis itu dilakukan selepas program kesihatan tamat, bukan ketika acara berlangsung.
Sebelum ini melaporkan, MAC menjelaskan pihaknya mengadakan sesi outrech bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan ubat virus kurang imun (HIV) di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis.
Majlis yang berlangsung pada pukul 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih berkenaan, inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, menegaskan serbuan polis terhadap perjumpaan golongan sejenis di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini dijalankan selepas pihaknya mempunyai bukti yang kukuh.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan polis selain turut mendapat aduan daripada pihak tertentu mengenai aktiviti kumpulan itu.-UTUSAN