Perpaduan Ummah jalan fungsi semak imbang, bela nasib rakyat - Utusan Malaysia

Perpaduan Ummah jalan fungsi semak imbang, bela nasib rakyat

SHAHIDAN Kassim pada Mesyuarat Perpaduan Ummah Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Arau Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perpaduan Ummah berperanan membela nasib rakyat dengan menjalankan fungsi semak imbang terhadap kepimpinan kerajaan Persekutuan mahu pun negeri.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu juga bukan merupakan parti politik namun akan memberi teguran kepada mana-mana kerajaan yang gagal menjaga kebajikan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, buat masa ini, keahlian Perpaduan Ummah adalah seramai 40,000 orang dan jumlah itu dilihat akan bertambah berdasarkan daripada sambutan diterima.

“Sasaran kita adalah untuk mencapai sejuta keahlian dan sekarang, Perpaduan Ummah fokus untuk peringkat Parlimen supaya gerakan pertubuhan ini lebih berstruktur,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perpaduan Ummah Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Perpaduan Ummah telah ditubuhkan dan diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sejak Disember 2022 lalu.

Mengulas mengenai Mesyuarat Perpaduan Ummah Parlimen Arau, Shahidan berkata, seramai 131 ketua-ketua cawangan telah hadir bagi membuat pemilihan bagi ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian serta ketua wanita bahagian.

“Untuk puteri dan pemuda pula, pemilihan ini akan dibuat selepas ini oleh mereka yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, keahlian Perpaduan Ummah juga adalah merentasi semua parti politik di negara ini kecuali DAP.

“Golongan anak muda juga akan dilibatkan secara menyeluruh bagi bersama-sama membawa perjuangan buat rakyat yang ditindas. Sekarang kita agak perlahan kerana tiada sokongan kawangan namun kita akan bergerak bersama-sama untuk melancarkan NGO ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN