Perkukuh Enakmen Jenayah Syariah, budaya songsang bukan lagi ancaman tersembunyi - Utusan Malaysia

Perkukuh Enakmen Jenayah Syariah, budaya songsang bukan lagi ancaman tersembunyi

HUSNA HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran ‘pertemuan’ gay di sebuah banglo di Kota Bharu, Kelantan yang berjaya digagalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan bahawa gejala tersebut bukan lagi ancaman tersembunyi, sebaliknya sudah berada di ambang normalisasi yang sangat membahayakan akidah dan moral masyarakat.

Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim berkata, peningkatan kegiatan maksiat dan budaya songsang tersebut yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat dilihat semakin membimbangkan.

Katanya, golongan itu juga sudah tanpa ada rasa segan atau takut kepada undang-undang dan norma agama.

Ujar beliau, budaya songsang tersebut mungkin telah lama menyelinap dalam diam, tetapi hari ini mereka tampil dengan penuh keberanian.

“Justeru, Dewan Muslimat Pas negeri menyeru seluruh masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, institusi pendidikan dan pihak berkuasa agar bangkit bersama-sama bagi menolak dan mencegah gejala berkenaan secara menyeluruh.

“Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan segera dan berani dalam membanteras penganjuran ini. Tindakan tegas ini membuktikan bahawa peranan pihak berkuasa amat penting dalam menjaga maruah agama dan keselamatan akhlak masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Polis Kelantan menyerbu sebuah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini yang dijadikan sebagai lokasi penganjuran ‘pertemuan’ gay pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat dilaporkan berkata, bertindak atas maklumat awam itu pasukan khas telah ditubuhkan untuk melakukan intipan terlebih dahulu sebelum melakukan serbuan pada pukul 1 pagi.

Menurut Mohd. Yusoff, hasil serbuan mendapati terdapat lebih 20 lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan.

Sementara itu, Husna berkata, pihaknya juga menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri Kelantan memperkukuh Enakmen Jenayah Syariah serta penubuhan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial.

Katanya, sudah tiba masanya undang-undang syariah diperkasa, bukan dipertikai.

“Negara ini memerlukan sistem perundangan yang mampu membendung keruntuhan moral dengan lebih berkesan dan berpaksikan nilai Islam.

“Dewan Muslimat Pas negeri akan terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat, menyantuni akar umbi dan memperjuangkan dasar Islam demi menyelamatkan generasi akan datang daripada kehancuran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN