PETALING JAYA: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pengosongan beberapa gerai kecil di Desa Pandan meresahkan peniaga yang mendakwa arahan tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa penjelasan menyeluruh.
Seorang peniaga, Reduan Rathi, 40, berkata, gerai-gerai yang telah beroperasi lebih 10 tahun itu akan terus dipertahankan kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan bagi mereka yang terlibat.
“Sebenarnya notis telah diberikan, tetapi hanya atas dakwaan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Parit dan Longkang. Apabila pegawai DBKL datang, mereka kata gerai ini adalah struktur haram. Tapi dalam masa sama, gerai ini ada lesen.
“Lebih mengelirukan, dua notis dikeluarkan oleh jabatan yang berbeza. Jabatan Perlesenan keluarkan notis perobohan pada 17 Julai, manakala Jabatan Penguatkuasaan pula tetapkan tarikh 15 Julai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Reduan berkata, para peniaga tidak akan berganjak kerana kawasan tersebut telah menjadi tempat mereka mencari rezeki selama sedekad.
“Di sinilah titik peluh kami. Mahu robohkan semuanya tanpa perbincangan atau penempatan semula? Sudah pasti kami akan pertahankan,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa seharusnya mengambil kira semua aspek termasuk sosial, ekonomi dan keselamatan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pengosongan.
“Ini bukan isu gerai kecil semata-mata, ini isu rakyat. DBKL tidak boleh buat keputusan sendiri tanpa rundingan dengan wakil rakyat,” ujarnya
Dia turut mempersoalkan perancangan untuk melebar jalan menjadi empat lorong di kawasan perumahan yang padat dengan sekolah dan penduduk.
“Ini kawasan perumahan.Kalau mahu lebar jalan, sepatutnya tidak boleh dibuat tanpa kajian menyeluruh,” tentang keselamatan,” katanya.-UTUSAN.










