Pengunjung mohon naik taraf pusat ekuestrian

Pengunjung mohon naik taraf pusat ekuestrian

PINTU masuk Pusat Ekuestrian Pahang dibiarkan bersemak sekali gus mencacatkan pemandangan di lokasi berkenaan di Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pusat Ekuestrian Pa­hang (PEP) yang terletak di Tanjung Lumpur di sini, perlu diselenggara dan dinaik taraf secara menyeluruh bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan berkuda di negeri ini.

Difahamkan, pusat tersebut kini dikendalikan sebuah syarikat melalui penyewaan rasmi daripada Yayasan Pahang. Kemudahan yang tersedia termasuk padang latihan dan kandang untuk kira-kira 35 ekor kuda namun ada antaranya dilaporkan mengalami kerosakan dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Tinjauan di PEP mendapati, beberapa kemudahan asas rosak malah kawasan di sekeli­ling pusat tersebut ditumbuhi lalang tinggi seperti tidak dijaga dan diselia dengan rapi.

Seorang pengunjung, Marliana Abd. Rahman, 37, berkata, usaha menaik taraf fasiliti bukan sahaja dapat meningkatkan kebajikan haiwan dan keselamatan penunggang, malah mampu menarik lebih ramai golongan belia serta pelajar untuk menyertai sukan itu.

“Pusat ekuestrian ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan hab pembangunan sukan berkuda peringkat ne­geri malah boleh menyumbang kepada industri pelancongan sukan jika diberi perhatian yang sewajarnya.

“Pihak berwajib perlu me­­mantau pelaksanaan penyelenggaraan dan menaik taraf secara berjadual agar aset negeri tidak terbiar. Langkah ini selari hasrat menjadikan sukan berkuda sebagai platform pembangunan modal insan dan pelancongan sukan yang mampan di Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Ahmad Khalid Abdullah, 44, perkara melibatkan sukan berkuda sememangnya memerlukan bajet besar untuk penyelenggaraan.

Katanya, ia boleh dikurangkan jika pihak bertanggungjawab bijak membuat perancangan.

“Sudah lebih 10 tahun saya sering ke sini dan melihat pusat ekuestrian ini semakin tidak memuaskan bukan sahaja daripada segi fasiliti tetapi keadaan tanah juga rosak. Ia boleh membahayakan penunggang dan kuda jika tidak dibaik pulih serta rumput yang tidak dipotong.

“Pekerja di pusat itu memberitahu dengan keadaan semak samun kadangkala didatangi haiwan bahaya seperti babi hutan dan ular sawa tapi mujur tidak ada kuda yang mati disebabkan ancaman tersebut. Namun keadaan ku­da di kandang kuda juga amat menyedihkan kerana ke­tidakselesaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×