PDRM perlu bantuan cari kotak hitam, naikkan bangkai helikopter - Utusan Malaysia

PDRM perlu bantuan cari kotak hitam, naikkan bangkai helikopter

MOHD. KHALID Ismail pada sidang media selepas melawat lokasi helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai di Jeti Maritim Malaysia, Gelang Patah Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan bantuan serta kepakaran daripada pelbagai agensi lain bagi mencari kotak hitam dan menaikkan bangkai helikopter yang terhempas ke dalam Sungai Pulai berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jalan Cabang, Pekajang, Gelah Patah, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hingga kini pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut berkaitan pencarian kotak hitam helikopter tersebut bagi membantu siasatan punca kejadian.

“Usaha sedang dibuat dengan menggembleng beberapa agensi, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),  Maritim Malaysia dan lain-lain yang mempunyai kepakaran,” katanya selepas melawat lokasi kejadian di Jeti Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.

Mohd. Khalid berkata, operasi menaikkan bangkai helikopter juga dijangka mengambil masa kerana memerlukan bantuan daripada pihak yang berkemahiran dalam kerja-kerja dasar sungai.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia perlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.

“Saya dimaklumkan kedalaman sungai ini kira-kira 25 kaki, itu juga menjadi cabaran besar untuk timbulkan bangkai helikopter,” katanya.

Menurutnya, lima mangsa, iaitu tiga lelaki dan dua wanita telah menerima rawatan segera dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dilaporkan stabil.

“Seorang lelaki dan seorang wanita yang kritikal kini dirawat dan stabil. Keputusan imbasan MRI mereka belum keluar, jadi saya minta supaya jangan buat spekulasi,” katanya sambil memberi jaminan bahawa PDRM akan memastikan kebajikan pegawai serta anggota yang terlibat akan dijaga.

Helikopter milik PDRM jenis, AS335N itu terhempas ke dalam Sungai Pulai pada pukul 10.15 pagi ketika menyertai Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN