PETALING JAYA: Pemasangan alat peranti kelajuan pada kenderaan perdagangan dan berat serta menaik taraf infrastruktur jalan-jalan titik hitam (blackspot) antara cadangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi mengelakkan kemalangan maut di kawasan terbabit berulang.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya mencadangkan pemasangan alat peranti kelajuan seperti pemantau kelajuan selain kamera papan pemuka (dashcam) pada kenderaan perdagangan.
Katanya, ia membabitkan kenderaan berat seperti bas, lori dan treler untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.
“JSPT sangat menggalakkan pemasangan alat berkenaan dan itu memang cadangan kita untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Selain itu, kita juga mengesyorkan infrastruktur Jalan Raya Timur-Barat dinaik taraf terutama di kawasan blackspot yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.
“Keperluan pencahayaan termasuk penyelenggaraan berkala terhadap aksesori jalan raya seperti garisan putih yang sudah pudar dicat semula turut dititikberatkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, siasatan berhubung tragedi di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik di Perak 9 Jun lalu dilengkapkan dan selesai susulan tindakan pertuduhan mahkamah terhadap pemandu bas berkenaan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
“Kami sudah melengkapkan kertas siasatan dan membawanya kepada tindakan mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, bas dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan menjadi punca tragedi yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 9 Jun lalu.
Perkara itu didedahkan dalam laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Analisis kinematik yang dijalankan mendedahkan, bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, berbanding had ditetapkan iaitu 60km/j.
Kegagalan mematuhi had laju itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan hilang kawalan, kenderaan tergelincir dan terbalik ke kiri jalan.-UTUSAN.










