KUALA LUMPUR: Keputusan Kamar Peguam Negara menutup siasatan kes kematian Teoh Beng Hock serta pembebasan Datuk Seri Najib Razak antara isu yang akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dimuat naik di laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta penjelasan berhubung keputusan Kamar Peguam Negara menutup kes kematian Teoh Beng Hock, manakala Lim Lip Eng (PH-Kepong) membangkitkan isu pembebasan Najib serta usaha menjejaki dalang utama skandal 1MDB, Jho Low.
Sementara itu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta penjelasan berhubung status semasa pelaksanaan reformasi institusi seperti pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta bilakah rang undang-undang berkaitan akan dibentangkan di Parlimen.
V. N Sivakumar (PH-Batu Gajah) pula meminta Menteri Digital menjelaskan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gelombang AI termasuk strategi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan integrasi AI dalam sektor ekonomi utama serta tadbir urus negara.
Isu antarabangsa turut disentuh apabila Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) membangkitkan peranan Malaysia dalam menyokong penyelesaian aman konflik Gaza serta krisis membabitkan Israel dan Iran melalui platform diplomatik.
Pada sesi sama, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut menyoal status terkini pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan jaminan kerajaan dalam melindungi pelapor maklumat terutama dalam kes-kes berprofil tinggi.
Persidangan turut dijangka hangat dengan soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang membangkitkan kemajuan pelaksanaan Akta Iltizam termasuk usaha penanda aras kecekapan pentadbiran serta jumlah peraturan yang telah dibatalkan dan diperkenalkan sejak ia dilaksanakan.
Persidangan kali ini juga menyaksikan suasana berbeza susulan peletakan jawatan dua menteri kabinet iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.-UTUSAN.










