Pahang tunggu laporan penuh kes buli - Utusan Malaysia

Pahang tunggu laporan penuh kes buli

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) dalam sidang media pada Program Moh Kendurian 3.0 di Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Kampung Mahkota di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan susulan negeri ini mencatatkan kes buli tertinggi di Malaysia seperti dilaporkan Public Health Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan susulan hanya akan diambil selepas laporan tersebut diterima dan diteliti.

“Saya sedang menunggu laporan daripada pihak jabatan untuk melihat sejauh mana laporan tersebut benar atau tidak. Insya-Allah, kalau benar kita akan bincang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Moh Kendurian 3.0  di Ladang Kampung Mahkota Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di sini hari ini.

Wan Rosdy juga menyeru semua pihak agar bersama menghentikan budaya buli kerana ia satu budaya yang sangat tidak digalakkan.

Ditanya sama ada keluasan negeri dan jumlah pelajar yang ramai mungkin menjadi faktor Pahang mencatat kes tertinggi, Wan Rosdy tidak menolak dakwaan tersebut.

“Kemungkinan itu antara satu sebab,” katanya.

Terdahulu, laman media sosial Facebook Public Health Malaysia mendedahkan statistik membimbangkan berkaitan buli dalam kalangan remaja.

Antara kumpulan paling ramai menjadi sasaran ialah pelajar Tingkatan 1 yang mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 23 peratus.

Dalam pecahan jantina, remaja lelaki dilaporkan lebih kerap dibuli berbanding perempuan, dengan kadar masing-masing 19 peratus berbanding 14 peratus.

Kajian itu turut mendapati pelajar daripada kaum India mencatat kadar buli tertinggi berbanding kaum lain di negara ini.

Daripada segi pecahan negeri, Pahang merekodkan kadar buli tertinggi di Malaysia iaitu 22 peratus, manakala Kelantan paling rendah sebanyak 12.5 peratus.

Antara bentuk buli yang paling kerap berlaku pula ialah memperlekeh rupa paras dan bentuk badan, membabitkan 16 peratus daripada mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN