KANGAR: UMNO mempunyai nilai dan sejarah legasi yang cukup luar biasa yang perlu dipertahan agar terus menjadi parti pilihan terbaik rakyat di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebagai sebuah parti bernilai tinggi, ia perlu diperkasa dan digilap sebaik mungkin agar terus menjadi pilihan terbaik kepada rakyat khususnya di Perlis.
Katanya, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar yang bertemakan nilai dan legasi itu juga bagi memberi gambaran bagaimanai parti yang telah banyak berjasa itu mempunyai nilai cukup tinggi dan legasi yang perlu dipertahan.
“UMNO ini seperti kereta klasik macam Ford Mustang Delano 1967. Kalau kita biar berdebu di belakang rumah, orang tak nampak nilainya. Tapi bila kita gilap, ‘refurbish’ (diperbaharui) dan bawa semula ke jalan raya, ia akan jadi ‘king of the road’,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais.
Tambah Fathul Bari, UMNO juga mempunyai warisan kepimpinan berterusan yang perlu dipelihara oleh generasi baharu.
“Saya mewarisi perjuangan daripada Datuk Seri Azlan, Ruzaini Rais (UMNO Padang Besar) daripada Datuk Zahidi. Datuk Rozabil Abd. Rahman yang kini menerajui UMNO Perlis dan Bahagian Arau,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari juga menyentuh mengenai keperluan pemimpin memberi penjelasan kepada akar umbi berhubung keputusan-keputusan politik yang mungkin sukar difahami oleh segelintir pihak.
“Kadang-kadang pemimpin tidak boleh dedah semua perkara. Ada isu yang tidak sesuai untuk diumumkan, tapi ia dibuat demi kelangsungan perjuangan parti.
“Platform seperti mesyuarat UMNO bahagian, cawangan inilah medan terbaik untuk kita jelaskan.
“Kita panggil Datuk Seri Presiden (mesyuarat perwakilan UMNO Kangar) untuk terangkan kepada kita apa-apa isu, pertimbangan politik telah dibuat yang sebenarnya untuk kepentingan, kelangsungan perjuangan parti,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.-UTUSAN