MK3D: Jangka kehadiran dua juta pengunjung

MK3D: Jangka kehadiran dua juta pengunjung

AHMAD Zahid Hamidi ketika melakukan tinjauan akhir persiapan Program Mega Karnival (MK3D) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Ma­­laysia di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak dua juta pengunjung dijangka hadir dalam Program Mega Karnival (MK3D) yang bermula hari ini sehingga 3 Ogos nanti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini sekali gus dapat merangsang pembangunan keusahawanan di bawah

Kementerian Kemajuan Bandar dan Wilayah (KKDW); Felda dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selain itu katanya, karnival itu juga akan menjadi pemang­kin antara agensi sokongan, pembeli dan penyedia teknologi dalam satu ekosistem untuk pembangunan usahawan luar bandar.

“Kita turut menyasarkan ni­lai transaksi jualan sehingga RM209 juta meliputi jualan tunai, pembiayaan usahawan dan po­tensi padanan perniagaan.

“Ini sekali gus memper­ku­kuh ekosistem keusahawanan desa dan membantu menjana nilai ekonomi yang mampan,” kata­nya ketika melakukan tinjauan akhir persiapan program MK3D di MITEC, di sini semalam.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, karnival yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Ma­­­laysia (MITEC) itu menggabungkan tiga inisiatif utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KDU) di bawah inisiatif KKDW; Hari Peneroka Felda dan Showcase Satu Daerah Satu Industri anjuran KUSKOP.

Katanya, MK3D dalam masa yang sama merupakan sinergi antara program seperti pensijilan Satu Daerah Satu Industri (SDSI); transformasi Felda, serta bantuan teknikal dan pemasaran KUD dibawah satu platform holistik.

“Ini sekali gus memboleh­kan usahawan mendapat akses te­rus kepada pelbagai bentuk so­kongan: dari pembiayaan, latihan, padanan perniagaan, hinggalah pensijilan dan pasaran eksport.

“Ia juga dapat mengoptimumkan sumber dan membe­rikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung, usahawan dan pelabur. Ini sekali gus menjimatkan kos kerajaan, mengelakkan pertindihan program, dan pada masa sama memberi pengalaman menyeluruh kepada usahawan dan pengunjung,” katanya.

Menyentuh sasaran pencapaian ekonomi MK3D kepada ekonomi pula, Ahmad Zahid berkata, karnival itu turut me­nyokong aspirasi Ranca­ngan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), khususnya dalam teras pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan luar bandar.

Jelasnya, ini sekali gus menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera dalam sektor bernilai tinggi dan melihat potensi pasaran global.

“Lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara yang terlibat nanti akan diberi peluang mem­promosikan produk mereka dalam persekitaran yang menghimpunkan pembeli, pe­labur dan agensi sokongan.

“Kita tidak hanya melihat potensi domestik semata-mata, sebaliknya antarabnagsa. Ini sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan desa dan membantu menjana nilai ekonomi yang mampan pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN